Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jakim tawar perkongsian dengan Maahad Tahfiz
Diterbitkan:  May 13, 2012 10:32 PM
Dikemaskini: 2:40 PM

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengalu-alukan permohonan daripada mana-mana Maahad Tahfiz untuk menjadi rakan strategik mewujudkan pengajian yang sama seperti di Darul Quran di peringkat Diploma.

Timbalan Ketua Pengarah jabatan itu Razali Shahabudin berkata, ini memandangkan Darul Quran yang ditubuhkan Jakim, hanya mampu menerima 250 orang daripada seramai 2,500 pemohon pada semester lalu.  

Razali berkata, Jakim turut menawarkan kursus di peringkat persijilan dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang kemudiannya menyambung pengajian di Darul Quran di peringkat diploma dan UIA bagi peringkat ijazah.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Multaqa Mudara' Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata) Kali 1 di sini, hari ini, beliau berkata Jakim telah mengeluarkan Sijil Tahfiz Malaysia kepada hanya 51 orang sejak penghujung tahun lalu, sedangkan yang memohon kira-kira 600 orang.

Katanya, lulusan maahad tahfiz di seluruh negara boleh memohon kepada Jakim untuk mendapatkan sijil itu dengan menjalani ujian hafazan di jabatan itu.

Razali berkata memiliki sijil Jakim memudahkan penghafaz untuk memohon pekerjaan yang diiktiraf oleh semua Majlis Agama Islam di seluruh negara, dan jabatan itu turut memberikan insentif RM1,000 seorang kepada mereka yang menerima sijil tersebut.

Beliau berkata, Jakim mengeluarkan Sijil Tahfiz Malaysia bagi mengelakkan sesetengah individu menyalahgunakan gelaran "Al-Hafiz" pada nama mereka.

"Sedangkan hafazan mereka perlu dinilai oleh Jakim," katanya.  

- Bernama

ADS