Majlis Peguam menentang keras tindakan kerajaan mahu membentuk organisasi baru mewakili peguam kerana ia boleh merampas fungsi badan itu bawah Akta Profession Undang-undang (LPA).

Presiden Lim Chee Wee berkata, pihaknya terkejut dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berhubung cadangan penubuhan akademi undang-undang yang "boleh menjadi alternatif" dan Majlis Peguam patut terbubar sendiri.

Lim berkata, Majlis Peguam menentang cadangan itu, yang dilihat hampir sama dengan yang diutarakan dua kali sebelum ini.

NONE"Malangnya, kejadian ketiga ini nampaknya dilontarkan semata-mata sebagai reaksi," katanya yang mengaitkan perkara itu dengan mesej Majlis Peguam melalui mesyuarat agung luar biasanya yang mengecam dakwaan kekerasan polis dalam perhimpunan BERSIH.

Nazri pada 12 Mei dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju dengan tuntutan golongan peguam yang mahu membentuk organisasi baru bagi mewakili mereka mempertahankan profesion, kebajikan dan kepentingan guaman.

Beliau berkata golongan peguam boleh membentuk organisasi itu atas nama persatuan atau agensi lain yang baru seperti akademi undang-undang dengan menggunakan pendekatan lain.

"Kalau (mahu) ada satu persatuan dan agensi yang lain yang (boleh) dibentuk untuk mewakili mereka yang berkelulusan undang-undang mesti tahu, Majlis Peguam (sedia ada) hanya mewakili mereka yang praktis undang-undang dan berdaftar dengan majlis itu sahaja," beliau dilaporkan berkata kepada pemberita di Kuala Kangsar..

Beliau diminta mengulas kenyataan anggota Majlis Peguam Abu Backer Sidek supaya sebuah badan guaman baru yang bebas dibentuk kerana Majlis Peguam sedia ada gagal dipertahankan sebagai sebuah badan yang profesional dan berintegriti.

Menurut Nazri lagi, golongan peguam berkenaan boleh mewujudkan Akademi Undang-undang yang mewakili semua lulusan undang-undang di negara ini.

[Baca berita penuh]