Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib: Video bukti 'Sepetang Bersama PM' berjalan lancar
Diterbitkan:  May 16, 2012 7:16 AM
Dikemaskini: May 16, 2012 11:46 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perbuatan dua tiga orang cuba berbuat bising semasa majlis pertemuan beliau dengan rakyat Malaysia di London kelmarin tidak mencemarkan majlis tersebut.

   

"Ia tidak menganggu saya dan suasana dapat dikawal selepas dua tiga minit. Kita akan menayangkan (rakaman) video mengenai majlis tersebut secara keseluruhan," katanya pada pemberita Malaysia di London semalam.

    

Beliau berkata tindakan untuk menayangkan rakaman video itu diambil kerana kemungkinan ada pihak yang akan cuba memberi persepsi yang berbeza mengenai perkara itu.

    

"Jadi kita terpaksa membetulkan, hakikat apa yang telah berlaku dan ramai yang hadir semalam termasuk Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Seri Zakaria Sulong,” katanya.

     

Adalah difahamkan rakaman video itu akan dimuatnaik ke dalam blog 1Malaysia.

    

Semasa sesi "Sepetang Bersama Perdana Menteri" yang dihadiri 1,500 orang kelmarin, dua tiga orang muncul pada majlis tersebut dan berbuat bising.

    

Najib berkata sejumlah besar tetamu di majlis itu begitu mesra dengan beliau, mereka bersalaman dengannya sambil memberi kata-kata perangsang serta ramai yang meminta bergambar bersamanya.

    

"Ini menunjukkan bahawa perbuatan yang dilakukan oleh dua tiga orang itu tidak mencemar majlis tersebut, ia telahpun diduga. Akibat limpahan daripada demonstrasi BERSIH 3.0 baru-baru ini, sudah tentu mereka akan mengambil kesempatan eksploit kehadiran saya bagi kepentingan mereka sendiri," katanya.

    

Beliau berkata sebahagian besar rakyat Malaysia cintakan keamanan dan tidak suka kepada kekacauan. Mereka menghormati prinsip keluhuran undang-undang.

    

"Ini dapat dilihat apabila saya berbual dengan mereka yang hadir, bukan sahaja apa yang mereka luahkan begitu positif, tetapi juga telah menerpa ke hadapan untuk bergambar dengan saya," katanya.

Tetapi seperti biasa, katanya, ada segelintir yang kecil yang cuba "hijack" untuk tujuan tertentu.

    

"Ini adalah kes di mana sekumpulan minoriti kecil cuba dominate keadaan dan suasana. Sebab itu sebagai kumpulan majoriti kita tidak boleh membenarkan perkara ini dan kita tidak akan rasa tertekan dalam perkara ini," tambahnya.

    

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba pada Isnin untuk lawatan kerja dua hari ke United Kingdom. Perdana Menteri menerima jemputan Putera Wales, Putera Charles, untuk menghadiri majlis resepsi sempena penganugerahan Carter Diraja kepada Pusat Pengajian Islam Oxford pada petang ini.

- Bernama

ADS