Polis mengambil keterangan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Sik, Kedah, Ngah Habib Mahyudin, 30, susulan kenyataannya dalam satu ceramah yang didakwa mempunyai unsur hasutan.
    
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Supt Baharudin Mustapha berkata pemimpin politik itu didakwa menyebut "mahu membunuh semua anggota polis yang mengambil tindakan ke atas peserta perhimpunan BERSIH 3.0 lepas" dalam satu ceramah di Bukit  Mertajam, di Bukit Mertajam minggu lepas.
    
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 143 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan, katanya kepada pemberita di Bukit Mertajam.
    
Ngah Habib yang juga pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia  (SAMM) Kedah tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT pada pukul 1.45  petang semalam bersama bapa dan beberapa rakannya sebelum meninggalkan IPD itu sejam kemudian.

- Bernama