Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Fuad Ismail mengelak apabila ditanya mengenai tindakan NGO yang semakin giat mengadakan demonstrasi di hadapan rumah pengerusi bersama BERSIH, Datuk S Ambiga.
Ahmad Fuad dengan pantas mengalih persoalan itu kepada isu sampah apabila soalan berhubung perhimpunan tersebut dikemukakan kepadanya dalam sidang media hari ini.
Beliau tanpa memberi peluang kepada wartawan untuk mengemukakan soalan itu sepenuhnya berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyerahkan lori sampah kepada kontraktor untuk "membersihkan lagi" kawasan terbabit.
Wartawan: Tindakan kumpulan anti-BERSIH berniaga burger depan rumah Ambiga...
Ahmad Fuad: Yang lori tadi memang hendak membersihkan lagi lah. Banyak sangat kekotoran, sebab itu kita bagi lori.
Beliau juga ditanya wartawan sekiranya peniaga burger yang menjaja di tepi jalan perlu memohon permit.
Ahmad Fuad berkata "tak payah jawablah."
"Macam saya tanya dulu. Dia orang, masa BERSIH saya kata jangan buat macam tu (berhimpun) tapi dia orang tak nak dengar cakap saya... (soalan) lain?," katanya.
Beliau ditanya demikian ekoran tindakan sekumpulan peniaga yang mula mengadakan demonstrasi anti-BERSIH pada 10 Mei lalu dengan membuka gerai mereka di menjaja burger di depan rumah Ambiga.
Tindakan itu diikuti dengan demonstrasi oleh Persatuan Veteran Tentera Melayu semalam yang mengadakan gimik demonstrasi dengan membongkok dan menggoyang-goyangkan punggung mereka ke arah kediaman tersebut.
Ahmad Fuad sebelum ini giat membuat kenyataan berhubung larangan membuat perhimpunan BERSIH 3.0 di Dataran Merdeka, termasuk memberi amaran untuk mengambil tindakan keras ke atas perhimpunan di Dataran Merdeka itu.
Beliau pagi ini merasmikan majlis penyerahan 31 buah jentera sampah kepada kontraktor bagi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal, di bangunan DBKL.