ULASAN Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) membantah program Irshad Manji yang dikatakan akan dijalankan di Universiti Monash Bandar Sunway pada hari Jumaat 18 Mei antara jam 1 hingga 2 tengah hari yang bertajuk "Moral Courage: Creating Space for Islam & Democracy".
Pihak Universiti Monash melalui Mohamed Ismail pula menafikan ada seminar dianjurkan oleh Sekolah Sastera dan Sains Sosial pada hari tersebut.
(Penganjur Malaysia ZI Publications semalam berkata program Manji di kedai buku di Lembah Klang dan universiti di Selangor dibatalkan. - Editor)
Sebelum daripada ini usaha beliau untuk berceramah di Universiti Islam Antarabangsa juga telah gagal. Malah di Indonesia juga beliau tidak dialu-alukan.
Selain tidak menghormati waktu solat Jumaat bagi orang Islam Irshad Manji dengan gahnya mengatakan lelaki Islam juga dialu-alukan hadir kerana olat Jumaat tersebut boleh dibuat bila-bila masa sahaja dan ia merupakan ciptaan manusia, sebagaimana terdapat di dalam Twitter beliau.
Ia memberi gambaran bahawa program beliau adalah lebih penting daripada solat Jumaat.
Irshad Manji mengaku sebagai seorang lesbian cuba mengetengahkan pendirian liberal beliau kepada masyarakat Malaysia.
Ia juga seolah-olah cuba menjuarai isu kebebasan seks dan moral dan mahu menjadikan ia norma masyarakat Malaysia walaupun jelas bertentangan dengan agama Islam.
Doa diberi hidayah Allah
Tulisan-tulisan Irshad Manji banyak yang mengelirukan dan tersasar dari hukum syarak. Malah acapkali dilihat sebagai mempertikai atau menghina agama Islam.
PPMM mendesak kerajaan tidak membenarkan beliau meneruskan program tersebut dan meninggalkan Malaysia dengan kadar segera kerana ia boleh menjadi barah kepada pengamalan agama Islam di Malaysia.
Perbuatan beliau yang jelas bertentangan dengan norma dan budaya Malaysia tidak dialu-alukan.
PPMM dimaklumkan bahawa beberapa laporan polis telah dan akan dibuat oleh beberapa NGO Islam dan pihak yang lain bagi membantah program seumpama ini dan berharap pihak yang berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya berkaitan laporan tersebut.
PPMM juga mendesak kerajaan agar memberi perhatian serius terhadap segala usaha yang menghakis kedaulatan dan kesucian Islam di Malaysia.
Sejak kebelakangan ini pelbagai pihak sudah berani mengabaikan isu moral dan akhlak dan menganjurkan kebebasan diri secara mutlak. Hal yang sedemikian perlu diperbetulkan oleh semua pihak.
PPMM juga menyeru para ulama menyediakan hujah menyanggah tulisan-tulisan Irshad Manji secara ilmiah agar pembaca beliau tidak akan terkeliru dengan tulisan beliau dan diberi penerangan secukupnya mengenai keindahan agama Islam.
PPMM juga mendesak Universiti Monash mengesahkan sama ada program tersebut akan diadakan di dalam premis universiti tersebut atau tidak sama ada dianjurkan oleh pihak universiti ataupun pihak lain yang menggunakan kemudahan Universiti tersebut.
Akhirnya PPMM mengajak semua masyarakat Islam agar berdoa supaya Irshad Manji akan diberikan hidayah oleh Allah SWT dan kembali ke pangkal jalan.
DATUK ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM). Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi
Malaysiakini
.
