Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

'Senaman punggung' oleh sekumpulan pesara tentera depan rumah Datuk S Ambiga adalah "penzahiran semangat" dan manifestasi kekecewaan terhadap pengerusi bersama BERSIH itu, kata seorang pemimpin PERKASA.

Bagaimanapun, ahli dewan tertinggi kumpulan pendesak Melayu itu Laksamana Madya (B) Datuk Mat Rabi Abu Samah berkata, sama ada semangat itu betul atau tidak ia bersifat subjektif.

NONE "Saya rasa kumpulan yang buat itu reaksi individu yang ada semangat. Sama ada semangat itu betul atau tidak itu subjektif.

"Mereka ini pernah berkhidmat dalam tentera dan bergadai nyawa untuk negara.

"Bayangkan kemuliaan pekerjaan ini dengan gaji yang kecil dan bergadai nyawa.

"Mereka inilah yang berani tunjukkan manifestasi kekecewaan mereka," kata Mat Rabi (gambar atas, sebelah kanan) yang sebelum ini memegang jawatan ketiga tertinggi dalam pasukan tentera laut.

Bercakap lanjut Mat Rabi mengaku tindakan veteran tentera itu sememangnya terbuka kepada pelbagai persepsi sehingga menimbulkan perbincangan oleh banyak pihak.

Namun, beliau sendiri secara peribadi berpendapat tindakan mereka wajar.

"Kalau tanya pendapat saya, saya rasa itu perkara yang betul. Ia mungkin tidak disokong orang lain," kata Mat Rabi.

Hujahnya, akibat tindakan Ambiga, masyarakat kini tidak menghargai keamanan yang wujud hasil khidmat pasukan keselamatan negara tetapi lebih menghargai individu seperti Ambiga yang didakwanya tidak berjasa kepada negara.

Malah, beliau sendiri turut merasa tempiasnya apabila tindakannya menyertai PERKASA dikutuk sebahagian bekas-bekas rakannya dalam pasukan tentera.

"Mereka mengutuk saya dan tidak menghargai pengorbanan tentera tetapi sebaliknya menghargai pengorbanan Ambiga.

"Nampak tak akibat buruk pemikiran yang dipengaruhi sekumpulan manusia yang tidak berjasa kepada negara dan memperkecilkan orang yang berjasa kepada negara?" katanya.

Ibrahim Ali: BERSIH lebih teruk

Sementara itu, Presiden PERKASA Datuk Ibrahim menyifatkan himpunan BERSIH 3.0 pada April 28 lalu jauh lebih teruk berbanding "protes burger" dan senaman punggung di luar rumah ambiga.

NONE "Jika dibandingkan dengan himpunan dibuat Ambiga di Dataran, ia jauh lebih buruk.

"Saya bukannya bersetuju tapi ia sama sekali berbeza dengan protes Ambiga di Dataran. Ia (protes burger) membantu Ambiga.

"Jika beliau mahu burger beliau cuma perlu ke pintu pagar rumahnya dan beli," katanya.

Ibrahim juga bersetuju siri protes yang berlangsung di rumah Ambiga adalah 'balasan' kerana tetap bertegas menganjurkan BERSIH.

Tawar bantuan pada polis didakwa kasari wartawan

Dalam perkembangan lain, PERKASA turut berikrar akan memberi bantuan guaman kepada dua anggota polis berpangkat konstabel yang didakwa di mahkamah atas tuduhan menggunakan kekerasan jenayah ke atas peserta BERSIH.

Menurut Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali (atas) , bantuan itu ditawarkan bukan kerana PERKASA percaya mereka tidak bersalah.

Sebaliknya, beliau yakin anggota polis berpangkat rendah tersebut perlu diberi 'perhatian' berbanding peserta BERSIH yang sudah dibela banyak pihak seperti pimpinan Pakatan Rakyat dan Majlis Peguam.

"Saya akan hubungi dan temui mereka (berkenaan perkara itu)," katanya.

ADS