Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
JAWI rampas buku karya Irshad Manji
Diterbitkan:  May 24, 2012 7:07 AM
Dikemaskini: May 24, 2012 6:53 AM

Pegawai Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) malam tadi merampas tujuh naskah buku "Allah Liberty & Love - Courage To Reconcille Faith & Freedom" karya penulis kontroversi, Irshad Manji berikutan kandungannya yang menyalahi hukum syarak.

    

NONE Ketua Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasa JAWI, Wan Jaafar Wan Ahmad berkata serbuan yang melibatkan lapan pegawai itu

dilakukan pada pukul 8.45 malam di sebuah kedai buku di pusat beli belah terkenal di Bangsar.

    

"Kami menerima maklumat terdapat sekurang-kurangnya 500 edisi terjemahannya sudah dicetak dan berada di pasaran di seluruh negara, malah usaha mengesan buku berkenaan sedang dilakukan," katanya kepada pemberita di ibunegara.

Irshad, penulis kelahiran Uganda dan memegang kerakyatan Kanada mencetuskan kontroversi kerana menyokong gerakan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) di Malaysia.

    

Wan Jaafar berkata buku berkenaan dirampas dan disiasat mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan atas kesalahan berhubung kesucian Islam dan institusinya, termasuk menghasilkan penerbitan yang bertentangan dengan hukum syarak. - Bernama

Manji berada di Malaysia minggu lalu untuk melancarkan bukunya itu.

Kedai buku akan disaman

Difahamkan semasa serbuan tersebut, pegawai JAWI tiba di Borders bookstore bersama dengan sekumpulan wartawan.

Seorang pegawai wanita JAWI memberitahu wakil kedai itu bahawa ia menjual buku-buku yang dianggap menyalahi undang-undang syariah.

"Terdapat 30 pegawai JAWI bersama dengan kakitangan media dan mereka mengambil gambar kakitangan kedai buku itu dan kad perniagaan kami," kata seorang kakitangan kedai buku itu yang tidak mahu dikenali.

Katanya, pegawai JAWI memberitahu bahawa mereka perlu memberi maklumat diri, termasuk nombor kad pengenalan untuk mereka mengambil tindakan.

"Jadi kami terpaksa memberikan butir diri kami, walaupun kami bukan Islam."

Buku pertama Manji, 'Trouble with Islam Today', diharamkan di Malaysia, tetapi pihak berkuasa masih belum mengeluarkan pengharaman rasmi terhadap buku terbarunya.

ADS