Saman sivil kerajaan terhadap anggota jawatankuasa pemandu BERSIH tidak mempunyai sebarang asas undang-undang dan patut ditarik balik, kata PKR.

Naib presidennya N Surendran berkata, saman terhadap pengerusi bersama BERSIH Datuk S Ambiga dan sembilan lagi bawah Seksyen 6(2)(g) Akta Perhimpunan Aman (PPA) 2012 bermotif politik, tidak kukuh daripada aspek undang-undang dan salah secara moral.

NONEKatanya, seksyen itu dan peruntukan lain dalam PPA tidak memerikan apa-apa hak sivil untuk bertindak sekiranya berlaku perlanggaran.

"Oleh itu, saman kerajaan tidak mempunyai sebarang asas undang-undang," katanya sambil memberitahu PPA bertujuan memudahkan dan menguruskan perhimpunan awam.

Kerajaan sebelum ini memfailkan saman menuntut ganti rugi RM122,000 daripada Ambiga serta sembilan lagi ahli jawatankuasa pemandu gabungan BERSIH kerana didakwa gagal mengawal perhimpunan anjurannya pada 28 April lalu sehingga kerajaan menanggung kerugian.

Selain Ambiga, ahli jawatankuasa pemandu yang disaman Maria Chin Abdullah, Zaid Kamarudin, Haris Fathillah Mohamed, Arumugam a/l Kalimuthu, Arul Prakkash a/l Sinnappan, Wong Chin Huat, Dr Ahmad Farouk Musa, Toh Kin Woon dan Andrew Khoo.

Pengerusi Bersama BERSIH Datuk A Samad Said dan seorang lagi anggota jawatankuasa pemandu Hishammuddin Rais bagaimanapun tidak tersenarai dalam saman tersebut.

[Baca berita penuh]