Penulis kontroversi Kanada Irshad Manji meluahkan kekecewaannya terhadap pengharaman buku terbarunya Allah, Kebebasan & Cinta dengan menyifatkan tindakan itu sebagai "penghinaan kepada generasi baru Malaysia".
"Penapisan melayan warganegara seperti kanak-kanak. Penapisan menafikan kehendak bebas manusia untuk berfikir buat diri sendiri," katanya.
Manji berkata, jika tidak bersetuju dengan sesuatu idea, tindakan berhujah balas atau membantah boleh diambil tetapi bukan mengharamkan.
"Tetapi melarang idea daripada disampaikan adalah tanda perasaan tidak selamat," kata Manji lagi.
Kementerian Dalam Negeri pada 24 Mei mengharamkan
Allah, Kebebasan dan Cinta
dan versi bahasa Inggeris
Allah, Liberty and Love
kerana didakwa mengelirukan orang awam dan menyalahi syariah.
Timbalan menterinya Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata perintah larangan itu dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 kerana kandungannya "boleh menggemparkan fikiran orang ramai dan memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam."
Buku itu bagaimanapun masih boleh dimuatturun daripada laman web rasmi penulis itu.
