Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno Sabah: Perlu menang perang siber
Diterbitkan:  May 26, 2012 3:32 PM
Dikemaskini: 7:33 AM

Anggota BN perlu sentiasa bersiap sedia untuk menangkis pembohongan dan propaganda pembangkang yang merosakkan pemikiran rakyat menerusi alam maya.

Timbalan Pengerusi Umno Sabah Datuk Seri Mohd Salleh Said berkata pembangkang akan menggunakan apa jua cara untuk menghasut pemikiran rakyat khususnya golongan muda melalui laman-laman sosial seperti Facebook, Twitter dan blog.

"Kita sekarang berhadapan dengan perang siber dan kita perlu memenangi peperangan ini," katanya pada perasmian Bengkel Cyber Troopers Pemuda BN Sabah di Kota Kinabalu malam tadi. Bengkel tiga hari yang akan berakhir esok itu disertai 80 orang.

Sehubungan itu, beliau meminta anggota BN melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu ketika berhadapan dengan masyarakat untuk menjelaskan usaha-usaha BN dalam membantu rakyat dan membangunkan negara.

"Masyarakat sekarang semakin matang dan mampu menghargai keikhlasan dan usaha yang telah dilakukan kerajaan BN," katanya.

Mohd Salleh berkata anggota BN juga perlu memberi penjelasan yang tepat bagi memikat hati rakyat dan menarik kepercayaan golongan muda.

Ramai anak muda kurang memahami atau kurang mengetahui usaha yang dijalankan oleh BN akibat lambakan maklumat palsu yang diperoleh melalui Internet, katanya.

- Bernama

ADS