Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perbicaraan pengerusi eksekutif NFC 5 Nov
Diterbitkan:  May 28, 2012 4:38 PM
Dikemaskini: 8:41 AM

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menetapkan 5 November bagi perbicaraan pengerusi eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, yang menghadapi dua tuduhan Pecah Amanah Jenayah (CBT) berjumlah RM49.7 juta.

    

Hakim S.M Komathy Suppiah memperuntukkan 15 hari bagi perbicaraan itu dari 5 November hingga 9 November, dan dari 3 Disember hingga 14 Disember.

    

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud memberitahu mahkamah bahawa kedua-dua belah pihak perlu menentukan fakta dan isu dipertikaikan, yang dipersetujui, yang pendakwa ingin cabar.  

    

Beliau juga berkata semua dokumen perlu disahkan sebelum pengurusan kes pada 8 Oktober, dan pihak pembelaan perlu menerangkan tentang mana-mana dokumen dan bahan bukti lain pembelaan yang mereka cadang kemukakan.   

    

Peguam Mohamad Salleh, Y.Seelan berkata pihak pembelaan memerlukan lebih masa untuk meneliti dokumen.  

    

Pada 12 Mac, Mohamad Salleh, 64, didakwa menyelewengkan RM9,758,140 dalam kapasitinya sebagai pengarah NFC, bagi membiayai pembelian dua kondominium di 'One Menerung' di Bangsar antara 1 dan 4 Disember 2009 di CIMB Islamic Bank Bhd di Taman Tun Dr Ismail.  

 

Tuduhan kedua melibatkan pemindahan RM40 juta ke dalam akaun National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd, di mana Mohamad Salleh dan seorang daripada anaknya adalah pengarah, antara 6 Mei dan 16 November 2009.   

    

Beliau menghadapi kemungkinan penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 409 akta Syarikat 1965.  

    

Mohamad Salleh juga didakwa di bawah Seksyen 132(2)(a) akta yang sama kerana menggunakan aset syarikat untuk membiayai sebahagian pembelian kondominium itu tanpa kelulusan syarikat.  

    

Beliau boleh dipenjara hingga lima tahun atau denda RM30,000 jika sabit kedua-dua kesalahan.

- Bernama

ADS