Walau belum memasuki pasaran, produk komputer tablet 1Malaysia Pad (1MPad) sudahpun menerima kritikan keras daripada pengguna Internet.
Antara lainnya, produk itu dikritik kerana menggunakan perisian lama selain harga jualannya yang "melampau" tinggi.
Mereka turut mendedahkan bahawa pengerusi eksekutif kepada syarikat yang merekabentuk dan mengeluarkan komputer berkenaan, MalTechPro Sdn Bhd sebagai seorang pemimpin Pemuda Umno.
Pegerusi eksekutif itu, Sohaimi Shahadan ketika dihubungi Malaysiakini mengakui bahawa beliau merupakan ahli Umno, namun menegaskan bahawa 1MPad itu bukan satu "projek kroni."
Jelasnya, semua orang boleh menjalankan perniagaan di Malaysia, tidak kira daripada parti mana sekalipun.
"Kenapa 1MPad dipanggil (projek) kroni? Adakah kita perlu cadang supaya orang Umno tidak boleh buat bisnes?," soalnya kembali.
Sejumlah 5,000 unit 1MPad akan mula dijual bulan depan dengan harga RM999 setiap unit.
