Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri tunggu saman penerbit buku Irshad Manji

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein secara sinis mengalu-alukan penerbit buku karya Irshad Manji yang dilaporkan berhasrat untuk menyaman kementerian itu.

Beliau berkata kementerian sememangnya menantikan Ezra Zaid, iaitu penerbit buku karya Irshad Manji bertajuk Allah, Kebebasan dan Cinta untuk tampil membantu siasatan.

"Sama ada dia tampil secara sukarela atau tampil untuk menyaman KDN saya tidak kisah, yang pasti dia perlu tampil ke hadapan untuk bertanggungjawab dengan tindakan yang telah beliau lakukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Kluang hari ini selepas menghadiri majlis bersama pemimpin dan pelancaran buku 'Dian Desa 2012' di Sekolah Kebangsaan Ladang Mutiara, Kahang di Kluang hari ini.

Beberapa laman portal pembangkang sebelum ini menyiarkan laporan tentang hasrat penerbit buku berkenaan untuk memfailkan tindakan undang-undang, bukan sahaja terhadap Kementerian Dalam Negeri (KDN) tetapi juga terhadap dua jabatan agama iaitu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Sementara itu, Hishamuddin berkata KDN telah membatalkan Perintah Penggantungan Perintah Tahanan di tempat tinggal masing-masing terhadap lapan pegawai Imigresen yang sebelum ini dikenakan perintah itu sejak 3 Dis 2010 mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (AKDN) 1960.

"Saya telah menandatangani Perintah Pembatalan tersebut dan mereka telahpun dibebaskan pada Khamis lalu dan kini menjalani kehidupan seperti biasa.

"Pembebasan itu dilakukan setelah kerajaan berpuas hati dan yakin bahawa kelapan-lapan individu berkenaan telah melalui proses pemulihan yang secukupnya dan sedar dengan kesalahan yang dilakukan sebelum ini," katanya.

Kelapan-lapan individu berkenaan dikenakan perintah tersebut sejak 3 Dis 2010 setelah terlibat dengan kegiatan penyeludupan manusia dan pada awal Ogos tahun lepas, mereka dikenakan Perintah Tahanan di tempat masing-masing.

Ketika ini, katanya terdapat 45 orang tahanan yang masih menjalani Perintah Tahanan manakala seramai 14 orang sedang menjalani Perintah Sekatan mengikut AKDN 1960.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS