Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis siasat aduan gegaran tiga minit di Ipoh
Diterbitkan:  Jun 8, 2012 4:10 PM
Dikemaskini: 8:11 AM

Polis sedang menjalankan siasatan berhubung aduan orang ramai mengenai gegaran yang berlaku di beberapa kawasan di sekitar bandar raya Ipoh semalam.

    

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Azisman Alias berkata setakat ini tiada kesan atau laporan daripada mana-mana pihak atau agensi yang mengetahui punca gegaran tersebut yang berlaku kira-kira tiga minit terutamanya di Jalan Kampar dan Kawasan Politeknik Ungku Omar (PUO).

    

Bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca gegaran, katanya pada sidang akhbar hari ini.

Dalam kejadian pada jam 11.15 pagi semalam, kira-kira 400 kakitangan PUO gempar apabila merasai gegaran kira-kira tiga minit.

Timbalan Pengarah PUO Muhammad Zubir Mohamad berkata sewaktu kejadian, beliau sedang menghadiri mesyuarat bersama kakitangannya dan mereka semua terdiam seketika apabila dikejutkan dengan gegaran itu.

    

Kejadian itu menyebabkan pintu dan tingkap bergetar selama beberapa minit menyebabkan ada kalangan kakitangan yang panik lalu menelefon talian kecemasan bomba untuk mendapatkan bantuan, katanya ketika dihubungi hari ini.

Siasatan awal mendapati gegaran itu mungkin berpunca daripada letupan kuari atau latihan tentera yang sedang dijalankan di kawasan berhampiran, bagaimanapun mereka diberitahu tiada sebarang latihan atau letupan kuari semalam.

    

- Bernama

ADS