Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menjangkakan bahawa pilihan raya umum ke-13 akan diadakan pada September.
Bercakap kepada majalah mingguan Red Tomato , Chua berkata beliau akan membenarkan golongan yang kuat mengkritik kepimpinannya untuk bertanding, selagi mereka merupakan "calon boleh menang."
"(Bekas presiden MCA, Datuk Seri) Ong Tee Keat dan (bekas ketua wanita, Datin) Chew Mei Fun boleh bertanding jika mereka fikir mereka adalah calon boleh menang," katanya.
Ditanya bagaimanakah beliau akan menilai calon tersebut, beliau berkata "rakyat ada mulut, mereka boleh beri maklum balas. Saya ada telinga, saya boleh dengar."
Dalam wawancara dua halaman dengan The Star, Chua berkata MCA akan mengugurkan kawasan yang tidak akan dimenanginya.
Namun, sekiranya ada individu yang ingin berkhidmat di kawasan seperti itu, beliau tidak akan menghalang usaha berkenaan, katanya.
Beliau turut mencadangkan kepada kerajaan untuk mendedahkan rakaman audio mesyuarat kabinet untuk membolehkan masyarakat Cina menghargai hubungan antara kaum yang dinikmati dan peranan yang dimainkan parti BN dalam kerajaan.
