Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin mahu Anwar jawab dakwaan kawal akaun induk RM3b

Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan segera dakwaan berhubung pemilikan 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang bernilai RM3 bilion seperti terkandung dalam akuan berkanun bekas Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Abdul Murad Khalid, 13 tahun lepas.

Timbalan perdana menteri berkata dakwaan berkenaan bukan perkara kecil dan dengan itu ketua umum PKR itu perlu bertanggungjawab untuk menjelaskan perkara berkenaan kepada rakyat.

"Angka (RM3 bilion) yang disebut adalah besar. Jadi, ia merupakan tanggungjawab Ketua Pembangkang untuk memperjelaskannya. Apakah benar atau tidak. Rakyat hendak tahu...pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membuat tuntutan supaya penjelasan dibuat pun mewakili kumpulan rakyat yang bukan sedikit.

"Kalau tidak betul, Anwar harus mengambil tindakan terhadap pihak yang membuat dakwaan termasuk bekas Penolong Gabenor Bank Negara," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran program Kasihi Pekebun peringkat negeri di Dataran Sarang Buaya, di Muar, hari ini.

Muhyiddin yang juga menteri pelajaran berkata kewibawaan dan integriti Anwar akan terjejas sekiranya Ketua Pembangkang berkenaan tidak menjelaskan dakwaan itu.

Selasa lepas, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali dilaporkan media menimbulkan persoalan mengenai status siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pendedahan Abdul Murad hampir 13 tahun lepas.

Ibrahim dilaporkan berkata dalam pendedahan bekas Penolong Gabenor Bank Negara yang dibuat menerusi akuan berkanun itu antara lain mendakwa, Anwar mengawal sebanyak 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang yang keseluruhannya bernilai lebih RM3 bilion, yang diperoleh ketika beliau menjadi Menteri Kewangan pada akhir 1990-an.

Akhbar hari ini pula melaporkan beberapa NGO turut menggesa SPRM supaya menyegerakan siasatan mengenai dakwaan berkenaan memandangkan ia merupakan perkara berkepentingan awam.

- Bernama

ADS