Menteri: Jual aset bukan penyelesaian jangka panjang

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin berkata pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada institut pengajian tinggi Selangor disambung semula kerana kerajaan negeri itu gagal mencari penyelesaian jangka panjang untuk memberi pendidikan percuma.

Katanya, rancangan kerajaan Selangor untuk menjual aset Universiti Selangor untuk membantu siswa berkenaan hanyalah tindakan sementara dan bukan satu penyelesaian.

"Cair aset bukan untuk digunakan beri pendidikan percuma atau subsidi yuran, hanya untuk beri bantuan sementara pelajar," katanya di Twitter hari ini.

Tambahnya, walaupun Pakatan Rakyat mahu PTPTN dimansuhkan, Universiti Selangor merayu kepadanya supaya pembekuan pinjaman tersebut ditarik balik kerana diperlukan pelajar.

Unisel juga tidak bersetuju dengan tindakan siswa mereka yang menuntut PTPTN dimansuhkan dalam perhimpunan pelajar pada April lalu.

"Pihak Unisel kesal dan tidak bersetuju dengan tindakan pelajarnya yg berdemonstrasi mahu mansuhkan PTPTN di Dataran Merdeka tempoh hari

"Unisel telah merayu menyatakan betapa pentingnya PTPTN kepada pelajar, saya amat bersetuju, PTPTN perlu diberikan kepada pelajar."
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.