Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) Bank telah membuat pengakuan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada tahun 1999 bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkannya menyalurkan berjuta-juta ringgit ke dalam akaun individu dan syarikat, demikian dilaporkan oleh akhbar New Straits Times .
Dalam laporan eksklusif muka depannya hari ini, harian berbahasa Inggeris itu memetik sumber-sumber sebagai berkata BPR (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM) menemui bukti apabila menyiasat dakwaan rasuah dan salahguna kuasa oleh Anwar ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri, dan menteri kewangan.
Bagaimanapun, BPR tidak boleh menawarkan CEO itu sebagai saksi kerana arahan untuk memindahkan dana itu sebahagian besarnya dibuat secara lisan dan tanpa dokumen, kata sumber-sumber yang dipetik dalam laporan itu.
Sebaliknya, BPR mengesyorkan supaya Suruhanjaya Sekuriti meneruskan tindakan terhadap syarikat-syarikat yang didapati melanggar Akta Syarikat dan Akta Suruhanjaya Sekuriti. Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada ia diteruskan.
Harian itu juga mendakwa penyiasat menyelesaikan siasatan itu pada lewat tahun 2000 selepas tempoh setahun.
Siasatan itu dimulakan pada kemuncak gerakan Reformasi, selepas penolong Gabenor Bank Negara Abdul Murad Khalid mendakwa dalam satu akuan bersumpah bahawa Anwar, sepanjang menjadi timbalan perdana menteri, mempunyai kira-kira 20 akaun induk yang mengandungi RM3 bilion dalam aset, saham dan tunai.
[Baca berita penuh]
