Kerajaan Selangor memberi jaminan bekalan air di negeri itu mencukupi dan Selangor tidak perlu mendapatkan bekalan air dari Pahang.

NONE"Kalau akal kita panjang, nampaknya (mendapatkan bekalan air) Pahang bukan satu isu serius.

"Untuk orang Selangor, ia bukan isu besar," kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (kiri) pada majlis penutup Forum Air Selangor, di Shah Alam semalam.

Menurutnya, keyakinan beliau itu sebahagiannya disandarkan kepada kajian NGO Coalition for Sustainable Water Management (CSWM), yang mendapati Selangor mampu membekalkan air buat rakyatnya sendiri.

CSWM diketuai Ir Dr Lee Jin dan ia mendapati perangkaan yang digunakan National Water Resources Studies 2000 dan 2011 dalam menjustifikasikan projek Langat 2 adalah tidak tepat.

"Laporan NWRS 2011 cenderung bias ke arah melebihkan unjuran permintaan air Selangor.

azlan"Justeru, terdapat keperluan mendesak untuk mengkaji semula anggapan dalam laporan itu sebelum ia digunakan untuk membuat keputusan oleh kerajaan Selangor," kata Dr Lee Jin dalam pembentangannya sebelum itu.

Lee Jin juga menegaskan Taman Warisan Negeri Selangor dengan kawasan seluas 108,300 hektar merupakan sumber air Selangor yang perlu dipelihara.

"Ir Dr Lee Jin konsisten sejak dua tahun yang lepas apabila menegaskan unjuran mereka (NWRS) salah," kata Khalid menyokong.

Walaupun demikian, Khalid menegaskan kerajaan Selangor tetap akan mendapatkan khidmat tiga syarikat perunding air - Halcrow, Suez, Wessex Water - untuk menjalankan audit bebas permintaan dan penawaran air Selangor.

SYABAS tidak dijemput

Dalam perkembangan berkaitan, ketika ditanya tentang ketidakhadiran Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) ke forum itu, Khalid berkata "hanya pihak yang akan memberikan maklumat untuk menyusun semula industri air Selangor" sahaja dijemput.

"SYABAS sudah adakan beberapa saman di mahkamah, jadi tidak sesuai dijemput hadir di majlis ini.

"Kalau mereka tarik kes mungkin akan dijemput," katanya separa serius.