Juara Piala Dunia 2010 Sepanyol menang bergaya selepas membelasah Ireland 4-0 dalam perlawanan kedua kumpulan C awal pagi ini di PGE Arena, Gdansk, Poland.
Dua gol skuad 'The Matador' dijaringkan oleh penyerang lincah dari kelab Chelsea Fernando 'El-Nino' Torres pada minit ke-4 dan ke-70.
Manakala dua gol lagi masing-masing dijaringkan oleh penyerang David Silva pada minit ke-49 dan pemain gantian Cesc Fabregas pada minit ke-83.
Gol pertama berpunca gerakan dari tengah padang, yang dimulakan oleh pemain tengah Barcelona, Andres Iniesta yang kemudiannya menghantar bola kepada rakannya David Silva.
David yang dicabar oleh pertahanan Ireland, menyebabkan berlaku pergelutan kecil dalam kotak penalti sebelum Torres mencuri bola itu dan merembat menewaskan penjaga gol Ireland Shay Given.
Manakala gol kedua pula dihasilkan selepas David menolak mudah ke gawang selepas mengacah-acah tiga pemain pertahanan lawan sekaligus menewaskan Shay Given.
Sementara gol ketiga dihasilkan oleh Torres selepas menerima umpanan dari David dari tengah padang dan gol keempat hasil rembatan Fabregas di sebelah kiri gol Ireland hasil sepakan sudut.
Hampir keseluruhan perlawanan diikuasai Sepanyol di mana banyak peluang dan gerakan cantik dicipta oleh gandingan 'playmaker' Xavi-Iniesta-David Silva.
Manakala Ireland pula tidak kurang memberi tentangan walaupun serangan dan gerakan mereka mudah dipatahkan oleh pertahanan Sepanyol.
Dengan kemenangan itu, peluang Sepanyol semakin cerah untuk melayakkan mereka ke peringkat suku akhir.
Sepanyol mengumpul empat mata selepas seri dengan Itali 10 Jun lalu. Ireland pula yang tewas dua kali, tidak memungut apa-apa mata dan adalah pasukan kedua terkeluar selepas Belanda.
Sebelum itu, dalam perlawanan yang lain dari kumpulan yang sama, Italy sekadar seri 1-1 dengan Croatia dalam perlawanan di Stadium City, Poznan, Poland.
Gol Itali dijaringkan oleh pemain tengah AC Milan Andrea Pirlo pada minit ke -32 hasil sepakan percumanya yang cantik.
Manakala gol Croatia pula hadir pada minit ke-72 apabila penyerangnya Mario Mandzukic menerima umpana bola hantar lintang, dan beliau yang melepasi perangkap 'offside', dia menampan bola sebelum merembat ke gawang.
Dengan kedudukan tersebut Itali mengumpul dua mata hasil seri bagi kedua-dua perlawanan, manakala Croatia mengukuh lagi kedudukan dengan empat mata hasil dua perlawanan.
