Bekas anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan, Yahya Othman, 76, meninggal dunia di rumahnya di Kampung Labok, di Machang jam 6.15 petang ini kerana sakit tua.

Allahyarham memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Banggol Judah (kini DUN Kemuning) atas tiket PAS pada pilihan raya umum 1990 sebelum dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Kelantan dari 1990-1995.
    
Jawatan terakhir Allahyarham ialah Setiausaha Agung Dewan Syura.
    
Adiknya, Abdul Kadir, 60, berkata Yahya pernah menjadi pensyarah di Fakulti Islam Universiti Malaya di Nilam Puri sebelum meletak jawatan untuk bertanding dalam pilihan raya umum 1990.
    
Allahyarham Yahya meninggalkan isteri, Habsah Husin Rahimi dan empat anak.
    
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gendang Lima, Labok di Machang pagi esok.

- Bernama