Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata jangkitan virus H1N1 di kalangan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di kem Dusun Resort, Kuala Nerang, Kedah adalah terkawal dan tiada kes kritikal.
Beliau berkata daripada 96 pelatih yang dikuarantin semalam kerana dijangkiti virus itu, hanya tinggal 21 orang sahaja yang masih menerima rawatan dengan 15 daripada mereka masih diasingkan di Hospital Kuala Nerang.
"Pelatih yang dikuarantin di kem terus diberikan rawatan, diharap ibu bapa jangan bimbang kerana keadaan terkawal dan tiada kes-kes yang kritikal. Virus ini bukan baru, ia memang sudah ada di negara kita, ia mudah merebak jika kita berada di dalam kumpulan yang ramai," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutupan Simposium Guru Penasihat Kelab Doktor Muda peringkat kebangsaan anjuran Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kelab Doktor Muda dan Kementerian Pelajaran di Georgetown hari ini.
Semalam, seramai 96 daripada 300 pelatih PLKN di kem itu dikuarantin kerana dijangkiti virus H1N1 dan daripada jumlah itu, 18 pelatih dirawat dan dikuarantin di Hospital Kuala Nerang manakala 78 lagi dikuarantin di blok khas di kem itu.
Mengenai program Kelab Doktor Muda, Rosnah berkata program itu yang diperkenalkan sejak 1989 di Sekolah Kebangsaan Seri Biram, Pekan Pahang telah diiktiraf oleh Kementerian Pelajaran sebagai satu daripada aktiviti kokurikulum di sekolah rendah sejak 2006.
Sejumlah 1,392 buah sekolah rendah di seluruh negara telah menubuhkan Kelab Doktor Muda iaitu 18 peratus daripada keseluruhan 7,724 buah sekolah rendah, katanya.
"Menerusi kolaborasi yang sedia wujud di antara kedua-dua kementerian, saya juga berkeyakinan bahawa program itu dapat diperluaskan ke semua sekolah-sekolah," katanya.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan juga akan mengambil inisiatif untuk melatih lebih ramai guru dan anggota kesihatan agar berkemahiran dan terlatih dalam melaksanakan program itu.
Simposium hari ini dihadiri kira-kira 350 peserta melibatkan 247 orang guru penasihat dan selebihnya anggota kesihatan yang bertindak sebagai pegawai penyelaras doktor muda.
- Bernama
