Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penyenaraian Felda: Perhimpunan mohon campurtangan Agong

NGO berkaitan PAS - Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) - akan mengadakan perhimpunan di Kuala Lumpur pada 14 Julai bagi memohon campurtangan Yang di-Pertuan Agong dalam penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) di Bursa Malaysia.

Dikenali sebagai "Perhimpunan Oren untuk Selamatkan Felda", pengerusi ANAK, Mazlan Aliman berkata, para peserta akan berkumpul di luar masjid Wilayah Persekutuan di Jalan Duta pada pukul 2 petang dan kemudian berarak ke Istana Negara yang baru, dekat situ.

"Kami menjangka sekurang-kurangnya 20,000 orang akan menghadiri perhimpunan tersebut. PAS Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mengetuai perarakan sejauh 2km itu," kata Mazlan (kiri) ketika dihubungi hari ini.

Manakala Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu akan menjadi pengerusi perhimpunan tersebut, dan Mazlan selaku ketua penyelaras.

Mazlan berkata, jawatankuasa penganjur bercadang mendapatkan penyertaan NGO dari gabungan BERSIH, gerakan anti-ISA dan anti-PPSMI untuk mempertahankan struktur Felda sekarang.

"Kita juga akan cuba untuk mendapatkan parti-parti politik dalam BN, terutama Umno, untuk bersama kita kerana ini adalah isu Melayu. Sembilan puluh tujuh peratus peneroka Felda adalah Melayu," kata Mazlan.

Apabila ditanya mengapa perhimpunan tersebut diadakan pada 14 Julai sedangkan FGV disenaraikan pada 28 Jun, Mazlan berkata ia akan menjadi kemuncak siri aktiviti memprotes penyenaraian Felda.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS berkata, mereka akan melancarkan cabaran undang-undang untuk menghentikan penyenaraian FGV, di samping mengadakan jelajah ke seluruh negara.

Ditanya mengenai potensi halangan daripada polis di tempat perhimpunan tersebut, Mazlan berkata, mereka akan mengikut prosedur tetapi tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan.

"Melainkan jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib (Abdul Razak) memutuskan untuk membatalkan penyenaraian FGV," katanya.

[Baca berita penuh]

ADS