Laporan yang mengaitkan bakal menantu perdana menteri, Daniyar Nazarbayev dengan dakwaan menipu merupakan masalah peribadi yang sengaja dipolitikkan dan tidak menjejaskan tugas Datuk Seri Najib Razak., kata Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Menurutnya, beliau menganggap dakwaan tersebut merupakan satu tuduhan yang cuba merosakkan politik negara.
"Saya tidak melihat ia menjejaskan perdana menteri daripada melakukan tugasnya. Ini adalah masalah peribadi dan juga tuduhan.
"Jadi saya tak rasa ia patut dipolitikkan," katanya kepada pemberita selepas bersama pengikut Twitternya di sebuah restoran di Kuala Lumpur malam tadi.
Selain itu ketika ditanya adakah isu tersebut akan memberi kesan kepada pilihan raya umum akan datang, Khairy berkata, beliau berharap masyarakat dapat membezakan antara tuduhan dan fakta yang diberikan.
Katanya, pihaknya juga akan menerangkan perkara sebenar sekiranya isu ini dibangkitkan.
"Isu ini adalah tuduhan bersifat peribadi yang dipolitikan dan tiada kaitan dengan negara. Tiada siapa yang datang untuk membuktikan tuduhan itu.
"Kalau masyarakat bertanya, kita akan terangkan pada mereka ini adalah tuduhan. Isu ini dibangkitkan untuk tujuan politik dan diolah dengan tujuan untuk memusnahkan politik.
"Kita perlu terangkan keadaan sebenar. Semua orang boleh buat dakwaan jika tak ada bukti," katanya lagi.
Selasa lalu, The New York Post melaporkan, dokumen mahkamah yang difailkan di Mahkamah Agung Manhattan mendakwa, Daniyar menipu bapa tirinya seunit kondominium bernilai AS$20 (RM62 juta) dan memasuki Universiti Columbia menggunakan dokumen palsu.
Bagaimanapun, semalam, ibu kepada Daniyar menafikan dakwaan terhadap anaknya dan menyifatkan perkara itu manipulasi politik dan tidak masuk akal.
"Saya dan suami tidak pasti siapa sebenarnya di belakang dakwaan yang tidak masuk akal dan bersifat tuduhan ini.
"Ini urusan dalaman keluarga yang dimanipulasi dan dipergunakan oleh pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan politik," Maira Nazarbayev dipetik sebagai berkata dalam kenyataan melalui jurucakap perhubungan awam.
