Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
UDA meterai perjanjian dengan penduduk Tg Tokong
Diterbitkan:  Jun 16, 2012 9:06 PM
Dikemaskini: Jun 17, 2012 2:11 AM

Masalah penempatan semula Kampung Tanjung Tokong akhirnya menemui jalan penyelesaian apabila Pengerusi UDA Holding Bhd (UDA) Datuk Nur Jazlan Mohamed bersama penduduk kampung memeterai Perjanjian Penyelesaian Perumahan Penduduk di Georgetown.

Rancangan pembangunan semula kampung itu yang tertangguh sejak 17 tahun lepas tercapai apabila penduduk di situ bersetuju menerima pampasan seunit rumah bagi setiap keluarga.

Nur Jazlan berkata persetujuan itu membolehkan kira-kira 1,200 keluarga yang tinggal dalam keadaan tidak selesa sebelum ini mempunyai kediaman dilengkapi prasarana terancang yang bakal dibangunkan tidak lama lagi.

"Pembangunan fasa pertama itu akan dimulakan segera bagi pembinaan rumah pangsa kos sederhana berkeluasan 79 meter persegi lengkap dengan kemudahan asas.

"UDA berjanji dengan penduduk Tanjung Tokong bahawa rancangan pembangunan semula melibatkan kawasan seluas 10 hektar ini tidak akan merugikan penduduknya," katanya kepada pemberita di Georgetown hari ini.

Katanya setiap penduduk akan menerima rumah bernilai RM300,000 yang bakal siap dalam tempoh empat tahun melibatkan peruntukan sebanyak RM165 juta.

Pada majlis yang sama, UDA menyerahkan Surau Desiran Tanjung yang dibina di penempatan transit Tanjung Tokong bernilai RM2 juta kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang untuk kegunaan penduduk di sana.

Nur Jazlan berkata pihaknya tidak dapat memenuhi hasrat segelintir penduduk yang mahu kekal mendiami kawasan berkenaan dengan rumah bercirikan perkampungan Melayu kerana keluasan tanah yang terhad.

Bagaimanpun UDA berjanji akan mendirikan perkampungan contoh dan sebuah galeri bagi mengekalkan warisan kampung berusia lebih 100 tahun itu.

"Pembangunan itu sejajar dengan hasrat kerajaan pusat menyediakan perumahan lebih selesa kepada penduduk Melayu di bandar Pulau Pinang sekali gus meningkatkan nilai hartanah mereka," katanya.

- Bernama

ADS