Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berpendapat demonstrasi jalanan yang diadakan tidak membantu mengukuhkan demokrasi yang sedia ada di negara ini.
Katanya, ini kerana ia mengundang pelbagai risiko kepada banyak pihak termasuk pengunjung, peniaga, pihak berkuasa, wartawan.
Anggota Majlis Tertinggi Umno itu juga berkata, demonstrasi sekaligus menjadikan matlamat demonstrasi yang sebenarnya tidak tercapai, sebaliknya diakhiri dengan kekacauan.
"Ada anasir lain yang mengambil kesempatan. Mengetepikan (hak) orang lain, mulanya dia menyokong kita, akhirnya dengan perangai kita, dia tidak sokong kita.
"Dan mungkin matlamat sebenar tidak tercapai, tetapi buah mulut orang selepas demonstrasi ada cerita-cerita yang lain. Cerita kekacauan, saman menyaman, pergi kepung rumah orang dan sebagainya.
"Perhimpunan aman atau demonstrasi jalanan, ada (dan) saya tidak menafikan. Ia banyak berlaku. Demonstrasi dalam negara demokrasi iaitu menuntut hak bersuara dan berorganisasi.
"Tetapi dalam demokrasi, ada hak komuniti, hak ketenteraman awam, hak keselamatan, hak untuk harta benda dan sebagainya," katanya sambil menambah artikel 10 Perlembangaan Persekutuan menjamin kedua-dua hak itu.
Perjanjian Hudaibiyah
Beliau berkata demikian dalam debat anjuran Sinar Harian bertajuk "Demonstrasi Jalanan: Meruntuh atau Mengukuhkan demoskrasi" yang berlangsung di Shah Alam, malam tadi.
Saifuddin berkata wujudnya perbezaan antara demonstrasi yang berlaku dalam konteks demokrasi yang telah wujud berbanding dalam suasana demokrasi yang belum wujud seperti cont0h penentangan rakyat terhadap Malayan Union.
"Ada beza mewujudkan demokrasi yang tiada, dengan yang mengukuhkan demokrasi. Ini persoalannya," kata Saifuddin membidas hujah Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub sebelum itu.
Bahkan, beliau turut membidas pandangan Salahuddin yang menyamakan protes jalanan dengan perarakan agama sebagai satu bentuk demonstrasi dan menyifatkan sebagai "satu kesilapan besar".
"Kalau begitu saya boleh kata, Rasulullah SAW masa pergi umrah selepas Perjanjian Hudaibiyah, itu juga demonstrasi, kacau kita, tuan-tuan.
"Ada beza antara protes jalanan dalam konteks politik dan demokrasi dengan perarakan agama," katanya sambil mendapat tepukan penyokongnya yang hadir.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan pandangan dan hujah Salahuddin yang juga ahli parlimen Kubang Kerian pada awal perdebatan ada "kekurangan struktural".
Salahuddin: Hak universal
Saifuddin yang juga ahli perlimen Temerloh berkata terdapat pelbagai saluran dan pendekatan yang lebih aman yang sesuai untuk mengukuhkan demokrasi yang telah wujud.
Antaranya meningkatkan penyertaan rakyat dalam proses membuat keputusan serta memperkukuhkan institusi sedia ada seperti parti politik, parlimen dan sistem pilihan raya serta memperkuat hubungan kerajaan dengan masyarakat sivil.
Menjawab hujah yang dikemukakan, Salahuddin berkata dalam negara di dunia ini mengiktiraf demonstrasi jalanan selagi ia berlangsung secara aman, tenteram dan tidak bersenjata.
Sambil menyifatkannya sebagai hak universal, beliau turut menegaskan negara yang mengamalkan kebebasan tidak mencabar antara kebebasan individu dan hak asasi manusia.
"Ini falsafah undang-undang yang perlu kita tegakkan," katanya.
Bagaimanapun, malangnya berlaku apa yang disifatkan dalam falsafah undang-undang " the small print ambil alih peranan the big print ".
'Huru hara sebab gas'
Dengan memberi contoh majistret mengeluarkan arahan Dataran Merdeka dikepung sebelum perhimpunan BERSIH, sedangkan ia didakwa bertentangan dengan artikel 10 perlembagaan negara.
Salahuddin berkata negara sedang menuju menjadi sebuah negara yang mengamalkan falsafah "autokrasi demokrasi" dan jika rakyat diberikan ruang yang cukup, maka demonstrasi tidak perlu diadakan.
"Kalau ruang yang cukup, kita tidak perlu untuk menyatakan protes ini secara jalanan ataupun apa yang dibimbangi sebentar tadi. Demonstrasi jalanan dalam sebuah negara yang sempurna demokrasinya, ia mengukuhkan demokrasi.
"Tetapi bagi negara yang menolak demokrasi, atau cuba-cuba untuk berpura-pura dengan demokrasi, atau menyembunyikan keadilan demokrasi, demonstrasi jalanan melahirkan demokrasi," tegasnya sambil mendapat tepukan gemuruh dan sorakan daripada penyokongnya.
Bersetuju bahawa demonstrasi boleh merosakkan harta benda, Salahuddin bagaimanapun menegaskan majoriti demonstrasi yang diadakan berakhir dengan aman.
"Yang jadi huru-hara sebab ada gas. Campakkan ular di hadapan tuan-tuan, apa akan jadi dalam dewan ini," katanya sambil mendapat tepukan gemuruh dan sorakan sekali lagi.
