AirAsia Bhd berkata ia sentiasa cepat dalam membuat pembayaran Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) kepada Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan tambang murah itu berkata pembayaran sentiasa dibuat sebaik sahaja invois daripada MAHB disahkan oleh jabatan kewangannya.
Ia menafiksn dakwaan oleh ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong, yang mengatakan AirAsia belum membayar caj perkhidmatan penumpang berjumlah RM7 juta kepada MAHB sejak Oktober tahun lepas.
Ia berkata kelewatan pembayaran itu dibuat kerana MAHB memberikan invois dengan jumlah yang salah, yang bererti pembayaran terpaksa ditangguh, untuk memperbetul kesilapan itu.
"Kami akan membayarnya segera sebaik sahaja jumlah caj itu diperbetul.
"Kami harap dengan penjelasan ini perkara ini dianggap selesai," tegas AirAsia.
- Bernama
