Kota Siputeh: Mahkamah persekutuan tangguh penghakiman

Mahkamah Persekutuan akan memutuskan sama ada ketidakhadiran wakil rakyat Kota Siputeh Datuk Abu Hassan Sarif pada dua persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah membawa kepada kegagalan menghadiri dua mesyuarat berturut-turut, menyebabkan kerusi itu dikosongkan.
    '
Panel lima anggota diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin menangguhkan penghakiman selepas mendengar hujahan rayuan oleh Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail.
    
Abdul Isa merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 18 Ogos tahun lalu yang memutuskan tiada pengosongan kerusi di kawasan itu selepas membenarkan rayuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Abu Hassan.

Hakim Zulkefli berkata mahkamah tidak akan terburu-buru dalam memutuskan rayuan itu dan akan memberi alasan penuh dalam penghakiman.

Panel tersebut dianggotai oleh hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Mohd Yusoff, Datuk Ahmad Maarop, Datin Paduka Zaleha Zahari dan Datuk Zainun Ali.

Datuk Sulaiman Abdullah dan Datuk Hafarizam Harun masing-masing mewakili Abdul Isa dan Abu Hassan manakala Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh mewakili SPR.
    
Sulaiman berkata Mahkamah Rayuan telah silap dalam mentafsirkan Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah dengan mengimport perkataan 'sesi' dalam definasi dan membuat kesimpulan bahawa Abu Hassan tidak gagal hadir pada dua sidang dewan secara berturut-turut dan oleh itu tidak mengakibatkan kerusi DUN dikosongkan.
    
Perkara 51 menyatakan jika mana-mana ahli bagi Dewan Negeri tiada hadir di dalam Dewan dengan tiada kebenaran Speaker di dalam dua kali mesyuarat berturut-turut maka tempatnya itu hendaklah menjadi kosong.

Beliau berkata Perkara 51 tidak menyatakan mesyuarat dua kali berturut-turut perlu diadakan dalam persidangan sama.

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa mesyuarat pada 19 April dan 9 Ogos (mesyuarat kelima sesi pertama dan mesyuarat pertama sesi kedua masing-masing), yang mana Abu Hassan tidak hadir bukan dua mesyuarat berturut-turut.

Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) pada 16 Nov 2009 yang mengosongkan kerusi DUN Kota Siputeh ekoran kegagalan Abu Hassan menghadiri dua persidangan Dewan secara berturut-turut iaitu pada 19 April dan 9 Ogos 2009.
    
Sulaiman berhujah oleh sebab Sultan Kedah tidak memprorog persidangan itu, maka sesi pertama diteruskan dan mesyuarat pada 9 Ogos 2009 adalah sebenarnya mesyuarat keenam dalam sesi pertama.
    
"Pendirian Speaker adalah bahawa Perkara 51 merujuk kepada mana-mana dua mesyuarat berturut-turut sama ada diadakan sekali dan sesi yang sama atau dalam sesi berlainan," katanya.
    
Amarjeet berhujah borang perisytiharan mesyuarat 9 Ogos 2009 disytihar sebagai mesyuarat pertama bagi sesi kedua, dilihat sebagai memprorog sesi pertama persidangan itu.
    
Abdul Isa mengemukakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan SPR tidak mengadakan pilihanraya kecil selepas beliau (Abul Isa) mengisytiharkan kerusi Abu Hassan menjadi kosong.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.