Juara Piala Dunia 2010 Sepanyol membenam Perancis 2-0 dalam perlawanan suku akhir ketiga Euro 2012 di Donbass Arena, Donetsk, Ukraine, awal pagi ini.
Ini bermakna skuad 'La Roja' itu akan bertemu pasukan jiran - Portugal - di peringkat separuh akhir kejohanan itu pada 28 Jun ini.
Kedua-dua gol kemenangan skuad bimbingan Vicente Del Bosque itu hadir pada minit ke-19 dan ke-90 hasil jaringan pemain tengah mereka Xabi Alonso.
Gol pertama Sepanyol berpunca daripada hantaran silang pertahanan kirinya, Jordi Alba dari arah kanan gol Perancis yang kemudiannya Xabi - yang tidak dikawal - meluru dan menanduk bola ke arah gol menewaskan penjaga gol Perancis Hugo Lloris.
Manakala gol kedua pula hasil sepakan penalti oleh Xabi, selepas pemain tengah gantian, Pedro Rodiguez dijatuhkan oleh pemain pertahanan Anthony Reveillere.
Banyak peluang dan ruang telah dicipta oleh pasukan 'La Roja' sejak awal perlawanan melalui gerakan gandingan Xavi Hernandez - David Silva - Andres Iniesta, tetapi dikekang oleh pertahanan Perancis.
Tidak ketinggalan, pasukan 'Les Bleus' yang dibimbing Laurent Blanc turut mengasak ke kubu Sepanyol yang diketuai penjaga gol Iker Casillas.
Gandingan jentera serangan Karim Benzema - Frank Ribery - Yohan Cabaye - bertungkus lumus merobek gol Sepanyol, tetapi dihalang oleh pertahanan 'The Matador' yang diketuai Sergio Ramos.
Perancis turut membuat serangan atau percubaan bagi memecah kebuntuan, tetapi nasib tidak menyebelahi mereka, sekalipun memasukkan penyerang Samir Nasri dan pemain tengah Jeremy Menez.
Beberapa peluang terbaik skuad Les Bleus untuk menyamakan kedudukan hadir antaranya sepakan percuma Yohan pada minit ke-31 separuh masa pertama ditepis keluar oleh Casillas dan tandukan pemain pertahanan Mathieu Debuchy, beberapa inci sahaja melewati palang gol.
Secara umumnya, Sepanyol menguasai keseluruhan perlawanan dengan menunjukkan skil penguasaan bola dan taktikal yang tinggi, manakala pemain Perancis banyak mensia-siakan bola yang diperolehi mereka.
Pertembungan dua pasukan jiran, Portugal-Sepanyol pada 28 Jun ini, sememangnya dinanti-nantikan oleh semua peminat bola sepak di seluruh dunia.
