Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mempertahankan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang masih mengelak untuk mengadakan debat dengan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau memberi alasan, pada masa ini tiada kepentingan untuk mengadakan debat di antara pemimpin utama dalam sesebuah parti politik.

Namun sekiranya tiada interaksi langsung di antara Najib dan Anwar, barulah debat itu perlu diadakan, katanya ketika ditanya dalam sidang media hari ini.

 "Kalau sekiranya kita tak ada interaksi antara perdana menteri dan ketua pembangkang, jadi keperluan debat itu penting.

"Saya tak nampak keperluan yang terdesak untuk buat debat. Tapi sistem parlimen kita mengamalkan debat perbahasan di Parlimen dan ia selalu terjadi," kata Khairy.

Jelasnya, perbahasan yang dijalankan di Parlimen mempunyai unsur perdebatan apabila perdana menteri membentangkan usul atau menjawab soalan perwakilan dan dicelah oleh ketua pembangkang.

"Kita cari pemimpin, bukan cari pemidato. Setiap kali dalam Parlimen, kita membalas hujahan di Parlimen. Perdana menteri jawab, menggulung setiap soalan dalam perbahasan.

"Anwar antara yang akan bersoal-jawab. Itulah debat. (Ia) setiap kali berlaku di Parlimen," katanya lagi.

Beliau berkata demikian apabila ditanya berhubung kenyataan Najib pada Jumaat lalu bahawa debat bukanlah satu budaya politik di negara ini.

Calon MB mesra golongan muda

Dalam sidang media sama, Khairy turut ditanya mengenai desas-desus berhubung rancangan BN untuk melantik menteri besar di setiap negeri yang dikuasainya.

Khairy bagaimanapun berkata, perkara itu berada di luar bidang kuasanya.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, beliau secara umum mengharapkan agar calon menteri besar itu mesra golongan muda.

"Itu saya tak boleh komen. Itu luar bidang kuasa saya. Cuma kita harapkan penampilan calon secara umum dapat mematuhi atau sehaluan dengan prinsip mesra kepada orang muda.

"Sesiapa calon saya harap dapat mesra kepada orang muda," kata Khairy.

Beliau terdahulu menyampaikan ucapan dalam Bengkel Sukarelawan Pemuda BN di Pusat Dagangan Dunia Putra petang ini.