Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pasukan Itali layak ke perlawanan separuh akhir Euro 2012 selepas menewaskan England 4-2, dalam penentuan sepakan penalti selepas kedudukan kedua-dua pasukan terikat 0-0 selepas masa tambahan di Stadium Olimpik, Kyiv, Ukraine, awal pagi ini

Dengan kemenangan tersebut pasukan yang dikenali sebagai 'The Azzuri' itu akan berdepan dengan Jerman di Warsaw, Poland, pada 29 Jun ini.

Semua gol Itali dijaringkan oleh penyerang Mario Balotelli dan tiga pemain tengah - Andrea Pirlo, Antonio Nocerino dan Alessandro Diamanti.

NONE Manakala sepakan pemain tengah Fiorentina Riccardo Montolivio tersasar keluar.

Sementara, dua gol England pula dihasilkan oleh pemain tengah Stephen Gerrard dan penyerang Wayne Rooney.

Dua lagi sepakan daripada Ashley Young dan Ashley Cole tersasar dan ditangkap kemas oleh penjaga gol Itali Gianluigi Buffon.

Sebelum itu, Itali berpeluang untuk memecah kebuntuan pada separuh masa pertama dan kedua, tetapi percubaan jentera serangan berjaya disekat oleh pertahanan yang diketuai John Terry atau dinafikan oleh penjaga gol Joe Hart.

Antaranya pada minit ketiga rembatan pemain tengah AS Roma, Daniele De Rossi dari luar kotak penalti sekadar singgah ke tiang gol Itali.

Walaupun gagal menguasai perlawanan, England juga berpeluang untuk menjaringkan gol, tetapi beberapa percubaan tersasar atau melewati palang gol.

Antaranya, kuisan pemain pertahanan England Glen Johson pada minit kelima sewaktu beliau berada dalam kotak penalti berjaya ditangkap oleh Buffon.

Pertembungan kuasa besar bola sepak dunia, Jerman-Itali pada 29 Jun ini, pasti menarik perhatian jutaan peminat seluruh dunia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS