Tiga lelaki termasuk remaja berusia 14 tahun dipercayai hilang di Taman Tun Abdul Razak (Taman TAR), Ampang Jaya malam tadi.
Pegawai Pasukan Jabatan Pertahanan Awam Daerah Sentul, Izzar Kadir berkata dua lagi daripada mereka berusia 27 dan 30 tahun.
"Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) menerima laporan pada jam 10.30 malam tadi dan terus memulakan operasi pencarian. Namun kami menghentikan operasi selepas beberapa jam berikutan keadaan yang terlalu gelap di kawasan itu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata operasi itu disambung semula jam 10 pagi ini dengan bantuan enam anggota JPAM, 10 anggota Balai Polis Hulu Klang dan tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Ampang.
Izzar berkata mereka masih menyiasat sama ada ketiga-tiga lelaki berkenaan hilang semasa berjoging.
Murid lemas
Sementara itu di Jerantut, mayat seorang murid Tahun Tiga yang dilaporkan lemas ketika mencari ikan bersama rakan-rakannya di Sungai Kampung Jerangsang di Jerantut semalam ditemui terapung kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian pagi ini.
Mayat Muhammad Firas Samsudin, 9, ditemui anggota penyelamat kira-kira jam 9.45
pagi sementara rakannya Mohd Aiman Abdullah, 9, yang turut dilaporkan lemas, masih belum ditemui.
Menurut Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Azid Ismail, dalam kejadian tengah hari itu, enam rakan yang sama usia itu dikatakan pergi ke sungai untuk mencari ikan.
"Empat daripada mereka turun ke dalam sungai manakala dua lagi berada di atas tebing. Dua daripada mereka kemudiannya dilaporkan lemas dan dibawa arus sungai," katanya kepada pemberita di Jerantut hari ini.
Azid berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa yang masih hilang diteruskan.
- Bernama

