Faekah: MB Selangor masih percayakan saya

Setiausaha politik kepada menteri besar Selangor Faekah Hussin menegaskan Tan Sri Khalid Ibrahim masih lagi memberikannya kepercayaan kepadanya menjalankan tugas-tugasnya.

NONE"Saya bertemu MB semalam dan soal penamatan tugas (saya) langsung tidak disebutkan.

"Malah, saya diamanahkan dengan lebih banyak tanggungjawab," kata Faekah kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar New Straits Times (NST) yang memetik portal pro-Umno AgendaDaily bahawa bahawa Faekah dijangka meletak jawatan pada Jumaat (esok).

Semakan Malaysiakini di laman AgendaDaily bagaimanapun mendapati tiada artikel berkaitan dakwaan itu dimuatkan. Difahamkan khabar angin itu hanya perbincangan 'BBM Group' di kalangan wartawan.

Manakala NST dalam laporannya menyebut, khabar angin itu antaranya mendakwa terdapat exco kerajaan Selangor dalam mesyuarat exco kelmarin menuntut Faekah berundur atas dakwaan menyalahguna kepala surat pejabat menteri besar.

Berundur selepas nasihat Wan Azizah?

Faekah dijangka meletakkan jawatan esok selepas mendapat nasihat daripada presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, lapor harian berbahasa Inggeris itu lagi.

Akhbar sama bagaimanapun melaporkan exco kanan negeri Ronnie Liu sebagai menolak dakwaan itu dengan berkata ia tidak dibincangkan dalam mesyuarat mereka.

Sumber pejabat menteri besar pula berkata, jika benar pun cakap-cakap itu, Khalid tidak memerlukan kelulusan daripada mesyuarat exco untuk mengeluarkan Faekah kerana ia kuasa prerogatifnya.

Menurut NST lagi, mereka tidak dapat menghubungi Faekah untuk tujuan pengesahan ketika laporan itu ditulis.

Faekah sebelum ini mendapat perhatian ramai sejak wujudnya penolakan dalaman PKR terhadap kedudukan beliau sebagai orang kanan Abdul Khalid.

Malahan, terdapat pihak yang tidak dikenali turut melancarkan kempen terhadap Faekah menggunakan tag #pecatfaekah dan #kamisayangpkr di Twitter.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.