Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), yang membuat kemunculan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada harga RM5.39 sesaham, kini sedang mengkaji untuk menembusi pasaran di benua Afrika.
"Kita akan melaksanakan model Felda - satu skim merekayasa sosial - di benua itu dalam tempoh satu hingga tiga tahun," kata Presiden Kumpulannya Datuk Sabri Ahmad selepas majlis penyenaraian FGV hari ini.
Pengendali minyak sawit ketiga terbesar di dunia itu, mengikut keluasan kawasan yang ditanam, akan mengambil bahagian di dalam pembangunan estet nukleas dan memberikan lebih banyak penekanan pada pemprosesan serta perkhidmatan nasihat mengenai bahan penanaman.
"Model Felda kita berjaya di Malaysia dan kita berpengalaman selama 50 tahun. Kita mahu berkongsi pengalaman dengan negara-negara Afrika seperti Cameroon," katanya.
Sekarang ini, ia mengendalikan kawasan perladangan kelapa sawit seluas kira-kira 350,000 hektar di Malaysia yang mengeluarkan 5.2 juta tan metrik tandan buah segar pada tahun lepas.
Sabri berkata fokus segera FGV, berikutan kejayaan penyenaraian itu, ialah untuk memfokus mengenai cara-cara menembusi perniagaan hiliran secara berpilih-pilih, yang termasuk lelemak khusus dan oleokimia.
"Strategi perniagaan hiliran kita akan melindungi perniagaan huluan dan kita akan terus fokus pada perladangan niagatani," katanya.
Segmen perniagaan hilirannya kini termasuk pengeluaran kacang soya dan produk "canola" dan oleokimia.
Katanya harga pembukaan RM5.39, yang merupakan premium 84 sen berbanding harga tawaran RM4.55 sesaham berada pada paras jangkaan.
Semalam, beliau memberi jaminan kepada para peneroka bahawa mereka tidak akan kehilangan tanah masing-masing berikutan penyenaraian itu kerana tanah mereka (peneroka) bukan sebahagian daripada eksersais IPO itu.
GV juga agak yakin mencapai sasaran keuntungan tahun keseluruhan, katanya, sambil menyatakan bahawa perladangan menyumbang lebih 80 peratus kepada keuntungan kasar pada tahun lepas.
Syarikat itu, katanya telah menggariskan pelan dan strategi khusus bagi mengembangkan perniagaan pengukuhan hiliran bagi menjadi antara pemain utama di dalam sektor minyak sawit, getah dan gula.
"Dengan selesainya eksersais itu, kami perlu berusaha keras bagi menjadikan janji kami satu kenyataan dan muncul sebagai satu kuasa niaga tani Malaysia, seperti jangkaan para pemegang saham kami," kata Sabri.
Pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mengunjurkan pendapatan suku kedua akan dicatatkan lebih baik selepas disokong harga minyak sawit mentah yang stabil yang berkisar sekitar RM3,000.
Sehingga rehat tengah hari, harga saham itu dicatatkan RM5.29.
- Bernama
