Tindakan kerajaan Melaka mengenakan caj penggunaan air mentah selain daripada sumber dibekalkan kerajaan negeri terhadap pengguna komersil langkah tepat, tetapi kadarnya mesti bergantung mengikut kualitnya, kata NGO berkaitan.

Persatuan Kajian Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) berpendapat, sumber air dari bawah tanah contohnya perlu dicaj dengan harga berbeza berbanding air yang diambil daripada empangan.

"Kalau dia nak benarkan ambil air mentah, tarif (dikenakan) mesti berkait dengan (kualiti) air yang diambil," kata presidennya S Piarapakaran.

Sebelum ini, satu surat bertarikh 22 Jun dikeluarkan Badan Kawal Selia Air Melaka (BKSAM) kepada pemilik perniagaan memaklumkan mereka akan dicaj untuk air daripada sumber selain daripada yang dibekalkan Syarikat Air Melaka Bhd (SAMB).

Ia termasuklah air bawah tanah, empangan, sungai, tali air, anak sungai, tasik,dan juga kolam. Pengguna komersial dan industri perlu membayar RM150 untuk yuran pemprosesan bagi mendapat lesen dari BKSAM dan RM350 setiap tahun untuk memperbaharui lesen itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Keroh daripada DAP, Khoo Poay Tiong dalam sidang medianya semalam mendakwa peraturan baru itu membebankan kilang dan perniagaan, dan menyebabkan kenaikan kos operasi.

Diamalkan juga di Selangor

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Piarapakaran berkata, tindakan mengecaj air mentah juga boleh memastikan sumber itu disalah guna dan dibazirkan.

Tambahnya, ia juga amalan biasa di seluruh dunia dan wajar dicontohi negeri-negeri lain untuk manfaat ekonomi dalam jangka masa panjang.

"Apabila kerajaan negeri dibayar untuk air mentah, mereka akan (mempunyai sumber pendapatan untuk) pastikan air yang dirawat (pula) benar-benar bersih," katanya.

Menurutnya lagi, melalui cara itu juga kerajaan negeri berupaya memastikan kawasan sumber tadahan air mampu membekalkan air bawah tanah yang cukup.

"Kalau ambil air lebih 30 juta liter sehari di sesuatu kawasan, laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) perlu disediakan," katanya.

Tambahnya, selain Melaka, kerajaan Selangor juga mengambil langkah sama mengenakan caj kepada pihak industri yang mendapatkan air dari sumber selain daripada yang dibekalkan kerajaan negeri.

Perkara itu disahkan Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Md Khairi Selamat kepada Malaysiakini semalam.