Siasatan awam berhubung insiden kekerasan oleh pihak berkuasa semasa perhimpunan BERSIH April lalu oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan bermula pada 5 Julai depan.

Setiausahanya Rodziah Abdul berkata, sehingga 21 Jun, Suhakam selesai menyemak penghujahan awam berbentuk dokumen, kenyataan dan rakaman video dan telah mengenal pasti saksi.

"Suruhanjaya sedang menunggu maklumbalas dari pihak polis atas permohonannya, dan peringatan seterusnya telah dikemukakan berhubung tujuan untuk menemubual personel polis yang bertugas semasa perhimpunan awam 28 April," kata Rodziah.

Menurutnya lagi, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira pemantauan mereka, aduan, laporan dan memorandum daripada pelbagai pihak termasuk individu, profesional dan NGO.

Panel siasatan akan dipengerusikan oleh Naib Pengerusi Suhakam Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu oleh Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Terma rujukan ditetapkan dalam siasatan awam itu antaranya bagi menentukan sama ada terdapat pelanggaran hak asasi manusia, pihak yang bertanggungjawab dan mengesyorkan langkah-langkah bagi memastikan ia tidak akan berulang.