Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Enam warga asing maut dalam dua kebakaran
Diterbitkan:  Jul 3, 2012 2:24 PM
Dikemaskini: 11:55 PM

Enam warga asing, lima daripada merupakan warga Bangladesh dan seorang warga Indonesia maut dalam dua kebakaran berasingan di Taman Puchong Perdana dan Kampung Baru Sungai Buloh di ibunegara awal pagi tadi.

    

Dalam kebakaran di Taman Puchong Perdana pada kira-kira jam 3 pagi, yang maut  ialah lima warga Bangladesh termasuk pasangan adik-beradik yang terperangkap di dalam rumah teres dua tingkat yang mereka sewa.

    

Mereka dikenali sebagai Sarova Baboo, Ruman, Abdullah Al-Farhad serta pasangan adik-beradik tersebut iaitu Md Basir dan Md Farouk. Kesemua mereka berumur antara 24 dan 40 tahun.

    

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamad Sani Harul memberitahu pemberita, rumah tersebut didiami tujuh warga Bangladesh dan dua daripada mereka berjaya menyelamatkan diri.

    

Mereka yang terkorban dipercayai terperangkap di dalam dua bilik di tingkat atas rumah itu apabila tidak dapat membuka jeriji besi tingkap untuk menyelamatkan diri, katanya.

    

Beliau berkata dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong dan Subang Jaya bersama 15 anggota berjaya memadamkan api setengah jam selepas menerima laporan kebakaran pada jam 3.15 pagi.

    

Menurut M.D Rubel, 27, salah seorang mangsa yang terselamat, dia tidur di bilik bawah sementra seorang lagi rakannya yang terselamat iaitu Bilal Hussin tidur di ruang tamu.

    

"Saya tersedar dari tidur bila rasa panas. Bila saya buka pintu bilik, saya tengok api sudah besar di bahagian bawah. Saya cuba selamat kawan di bilik atas bila dengar mereka meminta tolong, tetapi api sangat besar di tangga, saya tidak boleh ke atas," katanya yang turut cedera di kaki akibat terkena serpihan kaca ketika menyelamatkan diri.

    

Sementara itu Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli ketika ditemui di tempat kejadian berkata kebakaran kemungkinan berpunca dari litar pintas dari tingkat bawah dan kelima-lima mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

    -

Dalam kejadian di Kampung Baru Sungai Buloh pula, seorang wanita Indonesia yang dikenali sebagai Asna, 55, pekerja sebuah kedai kopi maut dalam  kebakaran kira-kira 2 pagi di sebuah rumah papan setingkat di Jalan Welfare yang merupakan tempat tinggal para pekerja kedai itu.

    

Pemilik kedai kopi yang beroperasi 24 jam itu, P. Tharitheran, 66, berkata pada masa kejadian dia bersama anak lelakinya sedang berniaga di kedainya yang terletak bersebelahan rumah itu, apabila mereka tiba-tiba melihat kepulan asap keluar dari rumah tersebut.

    

"Ada dua pekerja wanita Indonesia yang bekerja dengan saya sedang tidur dalam rumah yang mempunyai empat bilik itu. Selepas ternampak kepulan asap itu, saya menjerit suruh mereka keluar. Tapi saya hanya nampak seorang dari mereka meluru keluar," katanya.

    

Tharitheran berkata dia kemudian dimaklumkan oleh Yehani, 50, bahawa Asna yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak enggan keluar kerana sibuk menyimbah air untuk memadam kebakaran.

    

Mohamad Sani berkata mayat Asna dijumpai di dalam bilik air dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

    

Katanya dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh dengan 12 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

- Bernama

ADS