Badan pemikir Institut Kepimpinan Strategik Asia (ASLI) tetap mahu bergabung dengan empat lagi pemerhati pilihan raya yang lain untuk memantau perjalanan pilihan raya umum yang ke-13.
Perkara itu dinyatakan Ketua Strategi dan Naib Presiden ASLI, Ng Yeen Sen pada sidang media di Kuala Lumpur pagi tadi.
"Kami akan mengumpulkan sumber dengan bergabung dengan empat lagi pemerhati pilihan raya yang lain," kata Yeen Sen.
Beliau bagaimana pun memilih untuk tidak mengulas lanjut tentang perkara lain seperti syarat-syarat yang dikenakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menurutnya, peranan ASLI dan pemerhati lain dalam pilihan raya akan datang masih lagi dalam peringkat perbincangan dengan SPR.
Justeru katanya, sebarang kenyataan yang dikeluarkan akan bersifat mendahului langkah penamaan lima pemerhati itu yang kini dalam proses ditauliahkan secara rasmi.
Empat pemerhati lain adalah kumpulan pemikir Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), badan pemantau rasuah Transparency International-Malaysia, badan hak asasi manusia Promotion of Human Rights (Proham) dan badan kaji selidik bebas Merdeka Centre.
Penamaan lima badan itu sebelum ini mengundang kritikan banyak pihak kerana dilihat kurang berpengalaman dalam pemantauan pilihan raya.
Malah, gabungan proreformasi sistem pilihan raya BERSIH mendakwa pemerhati pilihan raya kali ini dikenakan terlalu banyak syarat untuk menjalankan tugas mereka dengan sempurna.
Menurut BERSIH, pemerhati tidak dibenarkan bercakap kepada media, sebarang dapatan pemerhatian perlu dihantar kepada SPR sebelum diterbitkan dan mereka juga tidak dibenar merakam gambar sebarang penipuan tanpa kelulusan pegawai pilihan raya bertugas.
