BN Selangor mempersoalkan kenapa 'kertas putih' berhubung pembelian hutang Talam Corporation Berhad yang dijanjikan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dua tahun lalu masih belum dibentangkan hingga ke hari ini.
"Hampir dua tahun berlalu, sehingga kini tiada sebarang kertas putih atau laporan yang dikeluarkan oleh menteri besar Selangor.
"Adakah ini hanya janji kosong atau menteri besar takut untuk dedahkan perkara sebenarnya? Kenapa Khalid masih belum kotakan janji dia?" kata Koordinator BN Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed dalam sidang media di pejabat Umno Selangor di Shah Alam petang ini.
Sehubungan itu, Mohd Zin menyifatkan perkara itu sebagai janji kosong.
Katanya, Khalid pada tahun 2009 telah mendapatkan belanjawan tambahan dalam sidang DUN bagi pembelian hutang Talam.
Malah, tambahnya, Khalid juga berjanji akan mengeluarkan kertas putih mengenai hutang tersebut pada penghujung 2010.
"Sehingga sekarang kita tak tengok sama ada kertas putih atau kertas hitam. Dia cakap dalam Dewan Undangan Negeri. Dah dua tahun dah. Apa yang susahnya.
"Inilah yang dikatakan janji yang tak ditepati," katanya.
Akan lapor polis, SPRM, SSM
Semalam juga, Khalid berkata, kerajaan negeri akan menyediakan kertas putih bagi menerangkan penyusunan semula hutang TALAM sebagai lampiran Bajet 2013.
Khalid berkata, kertas putih ini akan dijadikan salah satu laporan dalam Bajet 2013 untuk memudahkan orang ramai meneliti penyusunan hutang Talam.
Mengenai
dakwaan
MCA berhubung isu tersebut, Mohd Zin berkata, pihaknya akan membuat laporan kepada pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) dalam waktu terdekat.
Langkah itu, jelasnya, perlu bagi memastikan agar pihak yang melakukan penyelewengan melibatkan wang rakyat disiasat.
"Kita akan buat laporan polis, SPRM, Suruhanjaya Sekuriti dalam masa terdekat. Persoalannya, kenapa wang kerajaan negeri digunakan untuk membeli hutang TALAM? Adakah pembelian hutang ini ada tujuan lain yang cuba disembunyikan?" soalnya.
Transaksi meragukan
Justeru, Mohd Zin menggesa agar Khalid menjawab segala persoalan yang diutarakan dengan menyediakan laporan terperinci serta menyatakan status pembangunan yang dilakukan bagi setiap tanah atau aset yang dibeli.
Tambahnya, Khalid (
kiri
) juga perlu memberitahu bagaimana proses rundingan pembelian tanah dan aset dilakukan.
"Bagaimana proses rundingan pembelian tanah dan aset yang terlibat? Kerana rakyat perlu tahu harga tawaran dan bagaimana persetujuan dicapai.
"Gesaan ini perlu dijawab dengan terperinci kerana transaksi ini begitu meragukan," katanya.
Sementara itu, Khalid hari ini dilaporkan berkata kerajaan negeri akan mengambil tindakan undang-undang terhadap MCA dan pihak yang mendakwa berlaku penyelewengan berhubung isu Talam.
Sehubungan itu, Khalid dilaporkan berkata, kerajaan negeri, tidak akan membuat apa-apa ulasan buat masa ini demi untuk tidak mengganggu proses perundangan.
