MCA hari ini mendakwa kerajaan negeri Selangor telah terlebih "membayar" RM42 juta untuk tanah, sebagai sebahagian daripada perjanjian penyusunan semula hutang dengan Talam Corporation.
Menurut ahli jawatankuasa pusat parti itu, Chua Tee Yong, Talam telah menyerahkan 916 hektar (2,263 ekar) tanah bernilai RM139 juta sebagai bertukaran untuk RM181 juta dari kerajaan negeri.
T
anah di Bestari Jaya, Selangor itu adalah sebahagian daripada aset bernilai RM676 juta yang diperolehi kerajaan negeri dari Talam dalam pelan pemulihan hutang.
Merujuk kepada laporan penilaian oleh Mitra Valuers & Property Consultants Sdn Bhd bertarikh 11 Oktober 2010, Chua berkata, tanah tersebut bernilai RM139,090,000.
Menurut laporan itu, yang salinannya diedarkan kepada media, syarikat penilai itu telahpun mengambil kira hakikat bahawa 44 peratus daripada tanah itu ditenggelami air.
Penilaian muktamad juga mengambil kira bahawa sebahagian kecil tanah tersebut yang terjejas oleh laluan kabel voltan tinggi.
Bagaimanapun, penilaiannya adalah atas dasar bahawa tanah tersebut bebas daripada bebanan.
Chua berkata tanah itu merupakan bebanan dan mengikut amalan biasa, ini akan mengurangkan harga jualannya.
