Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan, tindakannya menyemak novel kontroversi Perempuan Nan Bercinta karya Faisal Tehrani yang dikaitkan dengan fahaman Syiah hanya rutin biasa.

Ketua Pengarahnya Datuk Othman Mustapha berkata, Jakim berperanan mengkaji bahan penerbitan yang berunsur Islam serta menjadi rujukan kepada orang awam atau pihak berkuasa, lapor Sinar Harian Online.

NONE"Adalah jadi rutin, Jakim membuat kajian dan semakan kepada bahan-bahan penerbitan yang mengandungi unsur-unsur agama Islam yang dirujuk oleh orang awam atau pihak berkuasa.

"Mengenai buku Faisal itu, Jakim masih belum ada sebarang kenyataan," beliau dipetik sebagai berkata kepada portal itu.

Bagaimanapun, katanya, sebarang keputusan untuk merampas bawah pertimbangan bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau pihak berkuasa agama setiap negeri.

Othman juga berkata, Jakim akan memaklumkan kepada umum sekiranya pihaknya perlu mengambil sebarang tindakan kelak."

Perempuan Nan Bercinta dilancarkan Datuk Seri Najib Razak bersama 29 lagi karya judul asli di kompleks kediaman perdana menteri Seri Perdana, Putrajaya pada 3 Julai lalu.

Buku setebal 410 halaman dan dijual dengan harga RM35 itu mengisahkan pengalaman Dr Tengku Idora, seorang feminis yang berkenalan dengan Prof Dr Ali Taqi menerusi Bastian, kekasihnya.

Perkenalan itu membantu perubahan tanggapan Tengku Idora daripada seorang feminis melulu kepada feminis yang bersandarkan ketokohan anak perempuan Rasulullah Saidatina Fatimah az-Zahra.

Dalam novel ini, watak Dr Ali Taqi kemudiannya menjadi sasaran dan buruan pihak berkuasa agama.