Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gapena tolak pendidikan pelbagai bahasa Dong Zong

Gabungan Penulis Nasional (Gapena) menolak tegas cadangan Dong Zong yang menggagaskan dasar pendidikan pelbagai bahasa bagi menggantikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar tunggal di sekolah.  

Ketua Satu Gapena, Datuk Dr Abdul Latif Abu Bakar menolak cadangan itu kerana ia "menentang usaha kerajaan membina bangsa Malaysia yang ingin menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan".

"Jika bahasa lain disama tarafkan dengan bahasa kebangsaan maka tercabarlah usaha kita untuk membina sebuah negara bangsa yang bersatu-padu," kata Latif.

Dong Zong atau Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia, bersama sembilan lagi organisasi pendidikan Cina lain berhasrat memajukan memorandum mengandungi lebih sepuluh tuntutan berkaitan pendidikan kepada perdana menteri hujung bulan ini.

Satu daripada perkara yang dituntut adalah meminda dasar bahasa pengantar tunggal kepada dasar bahasa pengantar pelbagai bahasa.

"Kita nak mengingatkan PM supaya tak menerima tuntutan mereka dan usaha Dong Zong ini tidak dilayan," kata Latif.

Tuntutan itu juga, kata Latif, turut mencabar kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

"Mereka ingin gugurkan monopoli bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan jadikan polisi multilingual.

"Polisi ini yang kami bantah dan kami rasa isu ini isu sensitif dan mengguris hati sebahagian besar warga kita," katanya dalam sidang media di Rumah Gapena di Kuala Lumpur semalam.

Gapena sebaliknya sangat mengalu-alukan Dong Zong jika mereka berusaha memartabatkan penggunaan bahasa Melayu di kalangan orang Cina yang masih lagi berada tahap yang tidak membanggakan, kata Latif.

Walaupun demikian, Latif menegaskan penolakan dasar pelbagai bahasa itu tidak bererti Gapena menolak terus sebarang usaha meningkatkan taraf pendidikan sekolah-sekolah Cina.

"Usaha nak mengukuhkan sekolah Cina itu boleh diminta kepada kerajaan dengan mengikut peraturan yang logik, yang masuk akal dan boleh diterima," katanya.   

Dalam sidang media sama, Latif turut membetulkan kenyataan beliau sebelum ini yang disalah lapor dua akhbar arus perdana.

Menurutnya, beliau menentang tuntutan untuk menjadikan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar di sekolah kebangsaan dan bukannya di sekolah jenis kebangsaan seperti dilaporkan Utusan Malaysia pada 9 Julai dan Berita Harian pada 8 Julai.

ADS