Selangor terus unggul di hadapan 14 kontinjen lain dalam pungutan pingat pada Sukan Malaysia (Sukma) Pahang ke-15 apabila menambah sembilan pingat emas pada hari ke-11 temasya itu, semalam.
Secara keseluruhan, Selangor kini menggumpul 36 pingat emas, 27 perak dan 35 gangsa.
Gimnastik muncul penyumbang utama bagi Selangor dengan empat pingat emas menerusi Nur Eli Ellina Azmi dalam acara batang titian kategori wanita selepas mengutip 13.5 mata manakala emas bagi acara senam lantai kategori wanita disumbangkan Farah Ann Abdul Hadi (13.2 mata).
Dua lagi emas menerusi Danniel Iskandar Richard yang mengutip 13.325 mata dalam acara kekuda pelana kategori lelaki dan Chua Jern Rong bagi acara palang sejajar kategori wanita dengan 12.975 mata.
Tuan rumah Pahang berjaya merampas kedudukan kedua dari Terengganu dengan pungutan 24 pingat emas, 26 perak dan 15 gangsa. Terengganu berada pada kedudukan ketiga dengan 24 emas, 10 perak dan 18 gangsa.
Kemarau emas selama 10 hari Kelantan pada temasya itu berakhir semalam apabila Muhamad Khairil Harith Harun memenangi pingat emas pertama buat kontinjen itu menerusi acara 10,000m jalan kaki lelaki dengan catatan masa 48:14.86s.
Beliau mengenepikan cabaran atlet Negeri Sembilan, T. Dhiban yang mencatatkan masa 49:33.81s untuk meraih perak manakala gangsa milik Muhamad Shamrin Mohd Aris dari Perak dengan masa 49:50.3s.
Kedudukan pingat Sukma ke-15 sehingga semalam
. EMAS PERAK GANGSA
SELANGOR 36 27 35
PAHANG 24 26 15
TERENGGANU 24 10 18
SARAWAK 23 12 18
W.PERSEKUTUAN 18 22 24
PULAU PINANG 17 7 12
KEDAH 14 9 6
SABAH 9 16 31
JOHOR 7 21 13
N.SEMBILAN 7 15 13
PERAK 6 12 21
MELAKA 4 8 7
PERLIS 1 4 8
KELANTAN 1 1 6
BRUNEI 0 0 1
- Bernama
