Cuepacs bincang bonus raya Isnin ini

Tuntutan bonus Aidilfitri untuk 1.4 juta penjawat awam di negara ini adalah antara isu yang akan dibincang dalam mesyuarat Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Isnin ini.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata permintaan bonus itu akan dibincang dari pelbagai sudut termasuk jumlah bayaran.
    
Cuepacs juga akan membincangkan dasar baharu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang membenarkan pemegang ijazah sarjana muda memohon jawatan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), katanya kepada Bernama, di ibunegara hari ini.
    
Omar mengulangi pendirian Cuepacs yang tidak bersetuju dengan dasar itu kerana dianggap menutup peluang kerjaya untuk lepasan SPM, selain boleh membawa masalah kepada SPA pada masa depan.
    
"Selain itu, Cuepacs juga membantah dasar SPA yang membenarkan calon mengemukakan permohonan sehingga 15 jawatan pilihan berbanding lima sebelum ini," katanya.

Katanya keputusan Cuepacs berhubung kedua-dua dasar itu akan dikemukakan kepada Pengerusi SPA Tan Sri Mahmood Adam pada 19 Julai ini.

Selain itu, Omar berkata Cuepacs juga akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa di sini pada 16 Julai.

Selain beramah mesra, beliau berkata Cuepacs berharap Ali dapat memberikan pendapat dan komitmennya dalam memperjuangkan kebajikan penjawat awam.

- Bernama

   
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.