Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis awasi Himpunan Hijau di Putrajaya
Diterbitkan:  Jul 14, 2012 8:13 PM
Dikemaskini: 12:15 PM

Polis akan mengeluarkan saman terhadap peserta konvoi Himpunan Hijau PAS ke Putrajaya yang didapati melanggar peraturan jalan raya termasuk menghalang lalu-lintas serta melanggar lampu isyarat semasa menyertai program itu, di Putrajaya hari ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Abdul Razak Abdul Majid berkata individu berkenaan akan dikenal pasti melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di jalan-jalan yang dilalui peserta konvoi itu.

"Kita dapati ada peserta konvoi yang melanggar peraturan jadi surat saman akan dikeluarkan selepas kita meneliti CCTV," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Konvoi yang disertai kira-kira 500 peserta termasuk kanak-kanak itu mula berhimpun di Taman Seri Empangan berhampiran Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya, seawal jam 9 pagi.

Mereka kemudian bergerak menaiki motosikal dan kereta ke beberapa lokasi untuk menyampaikan ceramah politik dan mengedarkan risalah kepada orang ramai, termasuk di Pusat Kejiranan Presint 9.

Abdul Razak berkata seramai 100 anggota polis ditugaskan mengawal perhimpunan dan konvoi itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

- Bernama

ADS