Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kumpulan pendesak Melayu PERKASA mahu turut serta dalam rundingan meja bulat antara Gabungan Penulis Nasional (Gapena) dengan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) jika perkara itu menjadi kenyataan.

Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali berkata pihaknya lega dengan kenyataan Ketua Gapena 1 Datuk Dr Abdul Latif Abu Bakar yang dilapor mahu mengadakan perbincangan dengan Dong Zong bagi menyelesaikan isu tuntutan dasar pendidikan pelbagai bahasa.

"Kita berasa lega kerana perkara ini sudah lama kita perjuangkan dan sudah lama kita beri perhatian. Oleh itu, jika pertemuan ini menjadi kenyataan, antara Gapena dan Dong Zong, PERKASA sedia turut serta mengambil bahagian bersemuka dengan Dong Zong berhubung isu pendidikan dan bahasa kebangsaan," katanya.

Bercakap dalam ceramah bertajuk "Melayu Bersatu, Kuasa Penentu" di Shah Alam malam tadi, Ibrahim yang juga ahli parlimen Pasir Mas menyifatkan tuntutan Dong Zong sebagai bertentangan dengan asas perlembagaan dan dasar pendidikan negara.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Abdul Latif yang bangkit mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan mempertahankan dasar pendidikan negara yang berteraskan kepada Penyata Razak.

Dilaporkan Gapena menolak dengan tegas tuntutan Dong Zong yang menggagaskan dasar pendidikan pelbagai bahasa bagi menggantikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar tunggal di sekolah.

Persatuan itu bersama sembilan lagi organisasi pendidikan Cina lain berhasrat memajukan memorandum mengandungi lebih 10 tuntutan berkaitan pendidikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hujung bulan ini.

Dalam ucapan merasmikan pejabat PERKASA Selangor, Ibrahim juga mengulangi pendirian PERKASA yang menyambut baik dan mengalu-alukan pemansuhan Akta Hasutan 1948 yang digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional.

Bagaimanapun, katanya, akta baru itu, "haruslah berpaksi kepada semangat akta hasutan" dan beliau menggesa kerajaan memperhalusinya dengan teliti dan tidak tergopoh gapah demi "memastikan tidak ada cuba mengganggu gugat asas perlembagaan negara".

Sementara itu, Ibrahim - yang pernah ditahan ISA - turut menjelaskan berhubung isu perpaduan Melayu yang sering dilaung-laungkan oleh pertubuhan itu.

Katanya, perkara tersebut tidak bermaksud pihaknya mahu "memudaratkan" kaum lain, sebaliknya bertujuan untuk mewujudkan keamanan sekali gus menjamin keselamatan negara demi kepentingan semua pihak.

"Sebenarnya kita hendak kepada perpaduan rakyat Malaysia itu sendiri... Pentingnya perpaduan bukan sahaja kepada orang Melayu, tetapi untuk bukan Melayu," katanya menyeru orang Melayu kembali menyokong Umno dan kaum Cina menyokong MCA serta menolak politik chauvanis.

ends.

ADS