Amuk Putrajaya: Kertas siasatan diserah pada pendakwa esok

Polis akan mengemukakan kertas siasatan berhubung rakan wanita Khalil Afandi Abdul Hamid, yang turut bersamanya mengamuk di perkarangan Kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM) Putrajaya Isnin lepas, kepada pihak pendakwa raya esok.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Abdul Razak Abdul Majid berkata keputusan sama ada untuk mendakwa wanita itu di mahkamah akan diputuskan oleh pihak pendakwa raya.

Wanita itu masih dirawat di Hospital Putrajaya kerana kecederaan di paha kanan kerana terkena tembakan dalam kejadian amuk itu, katanya kepada pemberita pada kejohanan boling Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di Kuala Lumpur hari ini.

Pada Isnin lepas, Khalil Afandi yang mengaku dirinya Imam Mahadi bersama wanita itu dengan bersenjatakan dua bilah pedang samurai dan sebilah pisau pemotong daging mengamuk di perkarangan Kompleks B, JPM di Putrajaya.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, Khalil Afandi mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari, manakala wanita berkenaan, bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, terkena tembakan di paha kanan dan dirawat di hospital sama.

Susulan itu, polis menahan reman seorang lelaki yang merupakan rakan kepada Khalil Afandi yang beralamat di Taman Medan, Petaling Jaya Selatan.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.