Satu kajian dasar sedang dijalankan untuk mengenal pasti tahap teknologi hijau yang dilaksanakan dalam pelbagai sektor perindustrian di negara ini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin hari ini berkata sebuah syarikat pakar perunding telah pun ditugaskan untuk menjalankan kajian itu.

"Tumpuan utama kajian ini adalah untuk mendapatkan data berhubung tanggapan industri terhadap amalan mesra alam dan sejauh mana amalan itu diguna pakai dalam operasi mereka," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival '1Hijau 1Komuniti' anjuran kementeriannya di Kuching hari ini.

Beliau berkata kajian itu sebahagian daripada inisiatif kementeriannya untuk mengukur tahap kesedaran dalam kalangan pelbagai sektor di negara ini berhubung penggunaan teknologi hijau dalam operasi mereka.

"Kajian itu adalah proses panjang yang akan berpindah dari satu sektor ke sektor yang lain," katanya.

- Bernama