Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM umum dana RM100 juta untuk belia
Diterbitkan:  Jul 15, 2012 9:04 PM
Dikemaskini: 4:32 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan beberapa inisiatif khusus untuk golongan belia bagi membuktikan sokongan dan pengiktirafan berterusan kerajaan kepada generasi muda Malaysia.

Satu dana yang dikenali sebagai Dana Sukarelawan 1Malaysia (DRe1M) diwujudkan dengan jumlah sebanyak RM100 juta akan disalurkan dalam bentuk geran kepada pertubuhan belia, NGO serta kumpulan belia yang tidak menjadi anggota mana-mana pertubuhan untuk menjalankan program sukarelawan.

" 1m4u launch najib 150712 Dana ini untuk mereka menjalankan aktiviti yang berdasarkan semangat kesukarelawanan seperti gotong-royong, membersihkan pantai. Kalau hendak adakan kelas tuisyen untuk Orang Asli boleh mohon bantuan daripada dana ini," katanya di hadapan 50,000 sukarelawan belia ketika melancarkan program 1Malaysia For Youth (iM4U) di Esplanade, KLCC di sini.

Najib berkata semua permohonan akan diproses secara dalam talian dengan melayari laman sesawang www.1m4youth.com.my bagi mendapatkan maklumat dan cara-cara memohon dana tersebut.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan penubuhan Lembaga Pemegang Amanah iM4U yang dipengerusikan oleh beliau sendiri. Beliau berkata lembaga itu bertujuan memastikan setiap program di bawah platform iM4U berjalan lancar.

"Kita perlu beri sokongan dalam bentuk sumbangan kewangan yang berpatutan, bukan secara mewah kepada saudara-saudari untuk mengadakan program dan aktiviti atas semangat sukarelawan," katanya.

Selain itu, Najib berkata sebuah stesen radio iM4U akan diwujudkan tidak lama lagi yang berteraskan minat dan citarasa anak muda masa kini, bertujuan menjadi platform para belia mengetengahkan bakat dan idea mereka.

1m4u launch najib 150712 Beliau turut mengisytiharkan tahun depan sebagai tahun kesukarelawan negara dengan semangat untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara akan terus dikekalkan.

Mengenai iM4U, Najib berkata ia merupakan platform kepada golongan belia untuk tampil ke hadapan dengan tenaga, buah fikiran dan masa demi kesejahteraan masyarakat dan negara.

"Melalui platform iM4U, saudara-saudari akan menyumbang kepada semangat kesukarelawanan, apa sahaja yang boleh mendatangkan manfaat dan kebaikan kepada masyarakat dan negara kita akan sokong melalui platform iM4U," katanya.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan belia di atas sokongan dan penglibatan mereka dalam aktiviti sosial yang bersifat kenegaraan dan semangat 1Malaysia itu, Najib berkata penyertaan mereka menunjukkan bahawa belia amat cintakan keamanan dan kestabilan negara yang dikecapi pada masa kini.

"Kita berhimpun pada hari ini kerana kita cintakan keamanan. Kita berhimpun untuk menggerakkan iM4U sebagai satu gelombang, bukan gelombang untuk buat rusuhan atau demostrasi tetapi sebagai satu platform bagi belia dan generasi muda mengetengahkan kreativiti dan aktiviti mereka," katanya.

Beliau turut memberi contoh pemuda kurang upaya, Mohd Zariff Afandi, 31, yang aktif dalam kegiatan kesukarelawanan dan sanggup menyumbang kepada kepentingan masyarakat walaupun tiada kedua-dua belah tangan.

"Saya telah bertemu dengan seorang pemuda, (Mohd) Zariff yang tiada kedua-dua tangan tetapi dia sanggup menjadi sukarelawan dan menyumbang kepada negara," katanya.

Najib berkata ungkapan 'iM4U' dipilih bermaksud kerajaan hari ini adalah kerajaan untuk belia dan kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk menjamin bahawa masa depan generasi muda akan dipenuhi dengan sinar, harapan dan gemilang kerana berjuang ke arah kejayaan demi kejayaan.

Beliau berkata perhimpunan hari ini bertujuan memperkasakan lagi perkembangan para belia dalam konteks membina negara bangsa selain menentukan masa depan yang lebih baik, sekali gus akan merealisasikan program transformasi negara.

"Masa depan kita akan ditentukan oleh saudara-saudari, kalau belia suka bela masyarakat, maka masyarakat akan terbela, kalau sokong kerajaan dan transformasi maka negara akan maju," katanya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut melancarkan lagu rasmi iM4U yang digubah oleh Universiti Lim Kok Wing selain mengedarkan 100,000 topi keledar kepada belia di seluruh negara.

- Bernama

ADS